
GUA MUSANG – Aliran trafik di beberapa lokasi utama di daerah ini dijangka mengalami kesesakan luar biasa sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 22 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, peningkatan jumlah kenderaan dari Pantai Barat termasuk Pahang dan Johor dijangka menyebabkan perjalanan menuju ke Kelantan menjadi perlahan.
Beliau berkata, keadaan sama pernah berlaku ketika sambutan Aidilfitri lalu apabila kesesakan trafik mencecah hampir 20 kilometer sehingga mendapat perhatian di media sosial.
“Walaupun terdapat laluan empat lorong di beberapa kawasan, pertambahan jumlah kenderaan dan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang masih belum siap sepenuhnya menyebabkan trafik bergerak perlahan.
“Hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya, beberapa langkah mitigasi akan diambil bagi membantu melancarkan aliran trafik,” katanya selepas meninjau laluan jalan di sempadan Gua Musang dan Merapoh, Pahang semalam.
Menurut Hilmi, antara langkah yang dicadangkan ialah melakukan penyuraian trafik lebih awal bermula dari kawasan Merapoh sebelum kenderaan memasuki Gua Musang.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat teknikal bersama Ibu Pejabat Polis Kuala Lipis dan JKR Lipis dalam masa terdekat bagi menyelaras tindakan berkaitan kawalan trafik.
Katanya, kerjasama dengan JKR Pahang penting bagi memastikan aliran trafik dapat dikawal lebih awal sebelum kenderaan memasuki jajahan Gua Musang.
Foto: Kosmo







