PUTRAJAYA – Tidak timbul soal Barisan Nasional (BN) mengkhianati Kerajaan Perpaduan susulan pendirian yang disuarakan gabungan itu di peringkat Johor berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gabungan tersebut akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) adalah atas tanggungjawab kenegaraan
” Ini untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir. BN menghormati pendirian yang disuarakan oleh gabungan itu di Negeri Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan
datang
“Ia selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen Barisan Nasional Negeri Johor. Justeru tidak timbul persoalan BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya ringkas menerusi kenyataan, pada Selasa.
Ketegasan itu disuarakan susulan beberapa parti dalam gabungan kerajaan Perpaduan yang melabel BN sebagai pengkhianat apabila akan bertanding secara solo pada PRN Johor.
Terdahulu, Menteri Besar Johor yang juga merupakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRN akan datang.
Untuk rekod, penggal semasa Dun Johor akan tamat pada April 2027 jika tidak dibubarkan lebih awal.
Pada edisi PRN lalu, BN memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi dan PKR serta Amanah pula masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi iaitu dua untuk Bersatu dan Pas satu kerusi manakala Parti Ikatan Demokratik (Muda) memenangi satu kerusi.



