Oleh: S.Abdullah dan Don Mikael
SEREMBAN – Malaysia menjadi antara negara yang masih stabil bahan apinya tanpa pelaksanaan catuan, larangan penggunaan kenderaan atau pengguna perlu berbaris untuk mendapatkan bekalan, seperti negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan bekalan itu adalah disebabkan pengurusan Petronas dan dasar ekonomi yang baik selain kecekapan pentadbiran di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Sekali lagi saya tekankan, negara dalam keadaan ekonomi lebih terkawal tetapi kita tahu di negara jiran, stesen ada 400 stesen minta ditutup. Saya baru balik dari sidang ASEAN. Apa yang dibincangkan?
“Takut kurang bekalan minyak, dan takut kurang bekalan diesel. Maknanya kita harus bersyukur, bukan makna tidak boleh bantah atau tidak boleh tegur. Kita syukur kerana ini salah satu negara yang bekalannya ada.
“Belum perlu ada catuan, belum perlu berbaris, belum perlu dilarang penggunaan kenderaan. Jadi anak muda harus berfikir ini. Tapi kita sentiasa menerima teguran untuk memperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Bandar Sri Sendayan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia juga berada di tahap banyak negara luar memberi penghormatan ketika negara dalam usaha mencari sumber tenaga minyak dan gas baharu.
Beliau menjelaskan, langkah sedemikian dibuat sebagai persediaan walaupun bekalan negara kini masih mencukupi berbanding negara lain.
“Jadi walaupun bekalan kita cukup ketimbang negara lain, kita terpaksa teliti zaman hari ini.
“Kita kirim pegawai ke negara Afrika, Amerika Latin, dan dua hari lalu pimpinan Petronas ke Turkmenistan untuk mencari ruang mendapatkan telaga minyak dan gas yang baharu,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan komited dalam memberi tumpuan kepada jaminan bekalan tenaga dan barangan keperluan, selain melaksanakan sebarang penyesuaian dasar secara berhati-hati, bersasar dan sementara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan rakyat dilindungi daripada tekanan harga global yang semakin meningkat.
Menurut beliau, pandangan Bank Dunia bahawa tekanan global ketika ini berlaku secara berlapis melibatkan kenaikan harga minyak, baja dan makanan yang saling berkait antara satu sama lain.



