
KUCHING – Kumpulan Kerja Pendidikan Awam dan Penyertaan Komuniti Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (SDUGGp) mengambil inisiatif menganjurkan reruai pameran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula Khamis.
Pameran sempena Persidangan DUN Sarawak ke-19 Penggal ke-5 yang berlangsung selama tiga hari itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, penganjuran reruai tersebut dilaksanakan dengan kerjasama erat Pejabat Residen Bahagian Kuching, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Turut serta menjayakan pameran ini ialah Sarawak Forestry Corporation (SFC), Pejabat Daerah Kuching serta Pejabat Daerah Kecil Padawan.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan memberi pendidikan, pendedahan serta meningkatkan kesedaran awam khususnya dalam kalangan ADUN, penjawat awam, petugas pusat khidmat masyarakat dan pengamal media.
Tambahnya, pendedahan itu penting bagi memberi penekanan mengenai kepentingan SDUGGp yang telah menerima pengiktirafan rasmi sebagai UNESCO Global Geopark pada 27 April lalu.
“Pengiktirafan oleh pihak UNESCO ini merupakan satu pencapaian besar buat Sarawak dan Malaysia apabila SDUGGp muncul sebagai geopark global keempat di negara ini selepas Langkawi, Kinabalu dan Lembah Lenggong,” katanya.
Untuk rekod, SDUGGp meliputi kawasan seluas 3,112 kilometer persegi merangkumi daerah Kuching, Bau, Padawan dan sebahagian kawasan Siburan yang kaya dengan sejarah geologi, biodiversiti serta warisan budaya masyarakat tempatan.
Antara tarikan utama yang diketengahkan ialah formasi batuan purba, landskap kars, kawasan tanah lembap, habitat hidupan liar serta kepelbagaian sejarah komuniti setempat.
Selain menjadi simbol pengiktirafan antarabangsa terhadap kekayaan alam semula jadi negeri ini, status tersebut turut membuka ruang luas kepada pembangunan pelancongan lestari, pendidikan, penyelidikan saintifik serta peningkatan ekonomi penduduk melalui penglibatan langsung masyarakat.
Menerusi pameran berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat tepat berkaitan pemuliharaan warisan geologi dan keperluan pembangunan mampan.
Ia turut memaparkan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan khazanah alam semula jadi serta budaya negeri terus dipelihara untuk kelangsungan generasi akan datang.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi menjayakan agenda pemeliharaan serta mempromosikan SDUGGp sebagai destinasi warisan dunia berprestij.




