PUTRAJAYA – Malaysia menyuarakan bantahan tegas terhadap keputusan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada negara ini, yang disifatkan boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan serta program pemodenan aset ketenteraan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu disampaikan secara langsung kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, menerusi perbualan telefon susulan tindakan unilateral negara Eropah itu.
“Saya sudah menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, berhubung keputusan unilateral Norway dan tidak dapat diterima untuk membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya, kononnya atas alasan melindungi keselamatan Norway.
“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan.
“Namun, Norway nampaknya tidak merasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama.
“Saya menegaskan bahawa keputusan ini akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS). Ia juga pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau.
“Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang suci dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati. Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura pada penghujung bulan ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan turut melahirkan rasa kecewa dan terkejut terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset pertahanan itu hanya beberapa hari sebelum jadual penghantaran pada Mac lalu.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Kementerian Luar Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan eksport negara itu.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), kontrak pemerolehan NSM antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan syarikat berkenaan dimeterai pada April 2018 bernilai 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik negara.
Sistem peluru berpandu itu mempunyai keupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak operasi melebihi 300 kilometer.





