
TAMBUNAN- Pengusaha pertanian tempatan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari luar negara.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Sabah memerlukan lebih ramai pengusaha pertanian yang berdaya maju bagi meningkatkan pengeluaran bekalan sayur-sayuran dan hasil pertanian tempatan untuk rakyat negeri ini.
”Kita berdepan cabaran berkaitan import hasil pertanian dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
“Mudah-mudahan kita dapat mencari situasi menang-menang dan pihak kementerian akan sentiasa membantu para pengusaha tempatan.
“Yang penting, kita dapat mengawal selia pengeluaran dan seterusnya membantu menstabilkan harga pasaran,” ujarnya semasa lawatan kerja ke beberapa lokasi pertanian di daerah ini, pada Ahad.
Jamawi turut memberi saranan penubuhan sebuah persatuan bagi mengumpul data penanaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk menilai keperluan import makanan dari luar negara.
”Langkah ini membolehkan Kerajaan mengetahui kapasiti sebenar pengeluaran petani dan pengusaha tempatan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import.
“Kita akan berbincang dengan Jabatan Pertanian supaya kita tahu berapa kapasiti pengeluaran para petani dan pengusaha lain. Dengan itu, kita boleh mengurangkan import dari luar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pegawai pertanian turun padang bertemu para pengusaha bagi membantu mereka mendaftar dalam aplikasi Kebun Dapur yang akan diperkenalkan kementerian itu.
Antara lokasi yang dilawati oleh Jamawi ialah Kolam Bio Flok Kampung Karas Maras, Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Stesen Mahua, Borneo Top dan Kampung Linuk.
Dalam lawatan itu, Jamawi berpeluang bertemu pengusaha ternakan ikan, Barry Ronald yang telah mengusahakan ternakan ikan tilapia merah, tilapia hitam dan ikan keli Afrika sejak dua tahun lalu.
Beliau turut melawat syarikat Borneo Top milik Alan See yang mengusahakan tanaman hidroponik dan fertigasi melibatkan tomato, salad, timun serta cili untuk dipasarkan di sekitar Kota Kinabalu, Sarawak dan Brunei.
Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Alan kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak penubuhan Borneo Top di Kampung Tiang.
Beliau juga mengadakan lawatan ke Kampung Libang Ulu yang mempunyai kawasan tanaman nanas seluas kira-kira 400 ekar.
Jamawi juga berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung dan menyampaikan pemenang Penanam Nenas terbaik di kampung itu dan turut memuji penglibatan golongan muda berusia antara 19 hingga 30-an yang aktif menceburi sektor pertanian di kawasan berkenaan.



