JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menjadi kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super, malah menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatat rekod tanpa kalah 108 perlawanan sejak musim 2021, sekali gus menyamai rekod dunia yang pernah dilakar kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas antara 1989 hingga 1994.
Skuad kendalian Xisco Munoz tampil garang apabila meledak lapan gol pada babak pertama sebelum menambah enam lagi jaringan pada separuh masa kedua.
Penyerang berbisa, Bergson Da Silva muncul bintang apabila meledak enam gol bermula pada minit pertama, ke-11, ke-36, ke-41, ke-52 dan ke-83, sekali gus melengkapkan koleksi 27 jaringan liga musim ini, lapor Bernama.
Pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo turut mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-16, ke-25 dan ke-62 selain menjadi perancang utama kepada beberapa gol rakan sepasukan.
Turut menyumbang gol buat JDT ialah Antonio Glauder (m-18), Stuart Wilkin (m-38), Yago Cesar (m-50), Mohamed Syamer Kutty Abba (m-85) dan Teto Martin (m-88).
Kelantan TRW dibimbing Zairul Fitree Ishak hanya mampu memperoleh gol saguhati menerusi Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-64.







