
TAWAU – Dua laporan polis dibuat Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) terhadap hantaran di media sosial dipercayai mencalarkan imej institusi Istana Negeri Sabah dan fitnah mengaitkan pucuk pimpinan parti berkenaan dengan kes tahanan polis.
Harapan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan polis itu dibuat Ketua Wanitanya, Norazian Damit dan Ahli Majlis Tertinggi Harapan Rakyat, Jany Sahak kira-kira pukul 2.30 petang, Jumaat di IPD Tawau.
“Menurut Norazian, ketika melayari Facebook sekitar pukul 8 malam pada Khamis, beliau terkejut melihat hantaran fitnah berkenaan dimuat naik individu berkaitan menggunakan akaun Facebook ‘Farah Yusuff’.
“Lebih mengejutkan, pemilik akaun Facebook berkenaan memuat naik dengan jelas gambar pucuk pimpinan parti, digunakan bersama gambar tangkapan polis dan tahanan di dalam mahkamah,” menurut kenyataan itu, pada Jumaat.
Justeru, hantaran berkenaan disifatkan berniat jahat, fitnah, tidak berasas dan memburukkan pucuk pimpinan Harapan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhannya.
“Lebih dikesali apabila hantaran berkenaan memuat naik gambar mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Ini menunjukkan satu bentuk sangkaan jahat tanpa bukti asas kukuh,” katanya.
Sementara itu, Jany turut menyifatkan hantaran wanita terbabit merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang mahu menghasut rakyat dengan mewujudkan persepsi negatif terhadap individu dalam parti.
“Ia satu tindakan biadap apatah lagi selama ini Harapan Rakyat lebih mengambil pendekatan tidak ‘melayan’ berita negatif di media sosial.
“Bagaimanapun, kami mahu tindakan tegas diambil terhadap individu itu selain menajadikannya pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenangnya menggunakan sosial media dan berselindung di sebalik ‘fake account’ untuk menyebarkan fitnah terhadap orang lain,” tegasnya.
Menurut Jany, pihaknya juga akan mengajukan aduan kepada MCMC memandangkan kandungan tersebut boleh menyentuh isu 3R kerana membabitkan perkauman dan istana Negeri Sabah.




