Tun M guna naratif songsang, taktik lapuk cipta politik ketakutan terhadap orang Melayu

PUTRAJAYA – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia berdepan risiko terlepas daripada tangan orang Melayu disifatkan tidak berpijak pada realiti, malah berisiko menanam naratif ketakutan yang boleh menggugat kestabilan negara.

Penganalisis keselamatan dan sosiopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, isu persepsi identiti di Malaysia jauh lebih berbahaya daripada persaingan politik biasa kerana mampu mengubah cara rakyat melihat negara, kerajaan dan hubungan antara kaum.

Menurut beliau, dakwaan bahawa kerajaan hari ini dikuasai kaum Cina dan India adalah jelas bercanggah dengan struktur kuasa sedia ada yang masih didominasi oleh orang Melayu yang menganut agama Islam.

“Jawatan Perdana Menteri masih dipegang oleh Melayu-Islam, majoriti institusi keselamatan seperti tentera, polis dan pentadbiran awam masih diterajui orang Melayu, manakala kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa Melayu dan Bumiputera masih dilindungi secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini menunjukkan bahawa naratif Melayu hilang kuasa lebih bersifat pembinaan persepsi politik berbanding ancaman sebenar terhadap struktur negara. Bahaya utama bila persepsi seperti ini dimainkan ialah ia boleh menyebabkan rakyat menilai politik berdasarkan ketakutan identiti, bukannya fakta dan realiti institusi negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir bahawa Malaysia berdepan risiko terlepas daripada tangan orang Melayu selepas beliau gagal menyatukan orang Melayu, meskipun telah berusaha lebih dua tahun ke arah itu.

Dalam pendekatan constructivism, Nur Ashikin berkata, apabila naratif bahawa Melayu sedang terancam diulang secara konsisten oleh tokoh politik berpengaruh, ia boleh membentuk rasa tidak selamat yang dibina secara sosial dan akan memberi kesan kepada masyarakat yang akan mula melihat kaum lain sebagai ancaman politik walaupun sistem negara masih berpaksikan dominasi Melayu-Islam.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa naratif yang dimainkan Mahathir merupakan  bahaya terbesar politik persepsi kerana ia memiliki kemampuan dalam mengubah psikologi masyarakat daripada rasa yakin kepada rasa takut dan curiga kepada kaum lain.

“Apabila sentimen ini berkembang, masyarakat akan lebih mudah dipengaruhi oleh retorik ekstrem dan politik kebencian. Dalam konteks keselamatan negara, keadaan ini sangat berbahaya kerana ia boleh meningkatkan polarisasi kaum, menghakis kepercayaan sosial dan melemahkan perpaduan nasional.

“Malaysia bukan negara homogen, sebaliknya bergantung kepada kestabilan hubungan antara etnik untuk memastikan keamanan domestik dan pembangunan ekonomi dapat dikekalkan. Oleh itu, sebarang naratif yang mengapi-apikan ketakutan kaum boleh memberi kesan strategik terhadap kestabilan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpendapat, persepsi itu adalah usaha membina semula relevansi politik melalui politik ketakutan selepas sokongan politik terhadapnya semakin menurun sehingga sanggup menjadikan isu identiti bangsa dan agama alat mobilisasi emosi rakyat kerana sentimen tersebut lebih mudah mempengaruhi masyarakat berbanding hujah ekonomi atau reformasi dasar.

“Dalam keadaan ini, rakyat tidak lagi digerakkan oleh idea pembangunan atau tadbir urus baik, tetapi ketakutan bahawa identiti mereka sedang dirampas. Strategi ini mungkin berkesan dalam jangka pendek untuk menggerakkan sokongan politik, tetapi dalam jangka panjang ia boleh merosakkan budaya demokrasi dan mewujudkan masyarakat yang sentiasa hidup dalam keadaan curiga antara satu sama lain.

“Ancaman terbesar kepada sesebuah negara bukan hanya serangan ketenteraan, tetapi juga ketidakstabilan dalaman yang berpunca daripada konflik identiti dan kehilangan kepercayaan terhadap institusi negara.

“Apabila rakyat mula percaya bahawa kerajaan tidak lagi mewakili kepentingan majoriti Melayu-Islam, legitimasi kerajaan boleh terhakis walaupun kerajaan tersebut dipilih secara demokratik. Keadaan ini menyebabkan rakyat semakin skeptikal terhadap proses demokrasi dan lebih mudah dipengaruhi oleh propaganda politik yang bersifat perkauman,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, jika politik perkauman kembali mendominasi ruang awam, ia boleh mewujudkan persepsi negatif selain mencalarkan imej negara bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah politik identiti yang lebih ekstrem dan tidak stabil.

“Pada awalnya, ketidakstabilan mungkin hanya wujud sebagai persepsi politik. Namun apabila naratif ancaman dimainkan secara berterusan, masyarakat mula hilang kepercayaan, parti politik mula bersaing menggunakan sentimen kaum dan media sosial dipenuhi propaganda identiti.

“Akhirnya, persepsi yang asalnya tidak benar sepenuhnya boleh berubah menjadi konflik politik dan sosial yang nyata. Dalam konteks ini, bahaya sebenar bukan pada siapa yang memerintah, tetapi pada bagaimana rakyat mula melihat satu sama lain sebagai ancaman kepada survival kaum masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Nur Ashikin menegaskan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, politik yang terlalu menekankan ancaman kaum berisiko menormalisasikan rasa curiga, memperkukuh polarisasi dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Bahaya utama penulisan Tun M bukan hanya kerana ia mengkritik kerajaan, tetapi kerana ia membina naratif ketakutan identiti yang boleh menggugat kestabilan politik, perpaduan nasional dan keselamatan negara.

“Jika terus dimainkan tanpa kawalan, naratif seperti ini boleh menjadi ancaman strategik yang lebih berbahaya daripada persaingan politik biasa kerana ia menyentuh asas paling sensitif dalam pembinaan negara bangsa Malaysia,” katanya.

Related Posts

Anthony Menteri Besar Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi terdesak hingga sanggup ‘tunggang’ politik kebencian

PORT DICKSON – Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai calon Menteri Besar mempamerkan ketandusan idea Barisan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Dengan kudrat yang ada’, Mohd Aidil yakin kelebihan turun padang

‘Dengan kudrat yang ada’, Mohd Aidil yakin kelebihan turun padang

Selangor sasar 80 emas, buru kejuaraan SUKMA kali ke-10

Selangor sasar 80 emas, buru kejuaraan SUKMA kali ke-10

Sepang kembali dalam kalendar Formula 1, GP Bahrain 2026 diadakan di Malaysia

Sepang kembali dalam kalendar Formula 1, GP Bahrain 2026 diadakan di Malaysia

Dua remaja perempuan maut, kanak-kanak cedera, dirempuh kereta gagal memotong

Dua remaja perempuan maut, kanak-kanak cedera, dirempuh kereta gagal memotong

Pengundi nilailah ‘drama’ politik BN dan PN – Aminuddin

Pengundi nilailah ‘drama’ politik BN dan PN – Aminuddin

Anthony Menteri Besar Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi terdesak hingga sanggup ‘tunggang’ politik kebencian

Anthony Menteri Besar Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi terdesak hingga sanggup ‘tunggang’ politik kebencian