Skim Lindung 24 Jam perluas jaringan keselamatan sosial pekerja mulai hari ini

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan skim Lindung 24 Jam yang bermula hari ini membuka lembaran baharu dalam sistem perlindungan sosial negara apabila lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kini dilindungi daripada risiko kemalangan bukan bencana kerja sepanjang masa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramana berkata, skim yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu memperluaskan perlindungan kepada pekerja formal tanpa mengira waktu, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

“Pelaksanaan skim bawah Perkeso ni adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelaksanaan skim berkenaan tidak memerlukan proses pendaftaran semula bagi pekerja yang telah mencarum, manakala pekerja baharu perlu didaftarkan oleh majikan mengikut mekanisme sedia ada.

Ramanan berkata, caruman skim Lindung 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berfasa dengan had siling gaji yang ditetapkan pada RM6,000.

Bagi peringkat awal, kadar caruman ditetapkan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji bulanan pekerja dan majikan bertanggungjawab membuat potongan gaji serta menyalurkan caruman kepada Perkeso setiap bulan.

Katanya, pembayaran caruman secara konsisten penting bagi memastikan perlindungan yang disediakan terus berkuat kuasa tanpa gangguan.

“Menerusi skim Lindung 24 Jam, Perkeso memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.

“Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW) serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” katanya.

Beliau berkata, peluasan perlindungan itu menepati amalan terbaik antarabangsa dan selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.

Tambah beliau, langkah berkenaan turut memperkukuh komitmen kerajaan dalam memastikan sistem perlindungan sosial negara terus berkembang seiring perubahan pasaran buruh, sekali gus menyokong agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Permohonan faedah di bawah skim tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui portal Lindung Faedah atau dengan hadir ke mana-mana pejabat Perkeso berhampiran.

Related Posts

Dua anggota tentera terkorban semasa menjalani latihan bom

SUNGAI PETANI – Malang tidak berbau telah meragut nyawa dua anggota tentera akibat kecederaan parah terkena letupan bom ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun di sini, hari ini. Dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Enam perusahaan terlibat ‘kartel penipuan’ pembekalan makanan berdepan penalti kewangan

PUTRAJAYA – Enam perusahaan berdepan penalti kewangan selepas didakwa terlibat dalam kartel penipuan bida bagi satu tender pembekalan makanan bernilai RM5.7 juta yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Pengerusi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi