
LIMBANG – Penganjuran Agro Tamu Medamit terus menjadi platform penting dalam merancakkan pertumbuhan sosioekonomi komuniti luar bandar, khususnya di kawasan Medamit dan Batu Danau.
Program anjuran Jawatankuasa Tamu Medamit itu dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan pemimpin setempat bagi membantu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui aktiviti keusahawanan dan jualan hasil pertanian.
Bagi memastikan kelangsungannya, inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama padu pelbagai agensi kerajaan serta sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang dalam usaha membangunkan komuniti secara mampan.
Menariknya, penganjuran kali ini turut melibatkan kerjasama Majlis Daerah Limbang (MDL) yang turun padang menyediakan kaunter pembayaran cukai bagi memudahkan urusan penduduk setempat.
Menelusuri sejarah penganjurannya, program yang telah menjangkau usia hampir 10 tahun itu bukan sahaja berjaya memupuk perpaduan berbilang kaum, malah menjadi pusat perniagaan inklusif buat penduduk di sekitar Medamit.
Pelbagai inisiatif yang digerakkan sejak penubuhannya dilihat memainkan peranan signifikan dalam merangsang pembangunan sosioekonomi masyarakat di pekan Medamit dan kawasan Batu Danau secara keseluruhannya.
Terdahulu, Jawatankuasa Tamu Medamit turut menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Paulus sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan komuniti luar bandar di situ.
Pemberian tersebut juga sebagai simbolik terima kasih atas sumbangan dana yang disalurkan bagi membantu jawatankuasa berkenaan merencana serta melaksanakan pelbagai program yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat.







