
SUKAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berjalan lancar mengikut jadual.
Hajiji berkata, usaha mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, beliau meninjau sendiri kemajuan projek berkenaan di tapak pembinaan bagi menilai perkembangan serta isu yang dihadapi.
Dalam lawatan kerja itu, Hajiji turut singgah di pakej WP25 untuk sesi taklimat dan pemantauan ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).
Menurutnya, berdasarkan taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), WP25 melibatkan jajaran sepanjang 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
“Setakat ini kemajuan fizikal projek direkodkan pada 12.35 peratus berbanding sasaran 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan 11.52 peratus.
“Projek bernilai RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh siap pada Februari 2028,” katanya.
Antara komponen utama projek termasuk pembinaan persimpangan bertingkat, hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Hajiji berkata, antara kekangan utama di tapak ialah pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada yang menjejaskan kelancaran kerja.
Selain itu, masalah utiliti turut dikenal pasti sebagai faktor utama yang memperlahankan kerja tanah selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, beliau turut diberi taklimat mengenai perkembangan WP24 yang melibatkan jajaran 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Katanya, setakat April 2026, WP24 mencatat kemajuan fizikal 15.60 peratus, sedikit di belakang jadual asal.




