
PAPAR – Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melaluipensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pensijilan MyGAP membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi syarat ketat termasuk penggunaan bahan kimia secara minimum serta kaedah mesra alam.
“Ini bermaksud hasil daripada ladang ini mematuhi amalan pertanian yang baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan.
“Pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah, selain mendidik masyarakat agar memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
“Ia merupakan proses berterusan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” ujarnya dalam kenyataan media selepas melawat Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang, pada Isnin.
Menurut Jamawi, kementeriannya akan terus menyokong pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi, selain bercadang menghimpunkan lebih ramai penggiat bagi mengadakan sesi libat urus.
“Pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik berbanding kaedah tradisional.
“Aspek biosekuriti terus diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan, khususnya terhadap kemasukan hasil import.
“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Jamawi menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa termasuk Kastam, Pasukan Gerakan Am, PolisMarin serta Polis Diraja Malaysia bagi membendung perkara berkenaan.
Menurutnya,usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin disamping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.








