Selagi ada musang, kerajaan bermasalah

SEKALI imbas, tajuk diskusi ini melampau tetapi itulah hakikat yang berlaku sekarang.

Kisah Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) umpamanya, menjelaskan bahawa terlalu banyak musang dalam agensi, jabatan kerajaan, dan kementerian.

Satu ketika dahulu iaitu pada era pentadbiran Kerajaan Perdana Menteri Ketujuh (PMVII) kita bercakap pasal “daulah terpendam”.

Apa berlaku selepas itu?

Ya, Kerajaan 22 bulan pimpinan PMVII tumbang gara-gara pergerakan daulah terpendam.

Sebenarnya, daulah terpendam itu berlaku dan kuat percikannya kerana adanya musang di sana sini.

Musang berkeliaran di luar pagar agensi, jabatan kerajaan, dan kementerian; menanti peluang melakukan serangan mengejut.

Pada masa yang sama spesies itu menyusupi agensi, jabatan, dan kementerian dan membina kekuatan.

Dikhuatiri mereka (musang dalam pagar) kini bergabung tenaga dengan musang dari luar pagar untuk meruntuhkan kerajaan.

Bagaimana kerajaan dirosakkan? Pertama, kepincangan dibiarkan tanpa langkah tuntas; kedua, maklumat sulit (bukan bermakna kejahatan kerajaan) dibocorkan kepada musang luar pagar.

Masalahnya, sesetengah agensi kerajaan, jabatan kerajaan dan kementerian membiarkan musang berkampung halaman dan beranak-pinak.

Pihak yang cenderung kepada musuh kerajaan dibiarkan naik pangkat dan diberi kekananan jawatan sekali pun mereka mempunyai rekod mensabotaj kerajaan.

Kita tidak mendesak kerajaan menyekat kenaikan pangkat dan menganugerahkan kekananan jawatan seseorang, tetapi pihak yang ada rekod membuat onar perlu ditapis sebaik-baiknya.

Dalam beberapa tahun mutakhir ini, pensabotajan ke atas kerajaan oleh para pembenci yang juga kakitangan awam sudah sampai ke tahap terang-terangan.

Mereka membaham kerajaan sewenang-wenangnya.

Dalam isu himpunan RXZ dan isu Hot FM, misalnya, bukan sedikit kakitangan kerajaan mengutuk kerajaan pada hal yang ‘koyak’ dan yang tersilap sudut pandang dalam isu itu sebenarnya mereka.

Kedua-dua isu itu dibahaskan mereka dengan cara yang tidak sopan dan lebih kepada tohmahan.

Malangnya, hal ini bukan sahaja dibiarkan oleh ‘pihak berkuasa’ masing-masing, malah ada ‘petualang’ itu diberi kedudukan dan jawatan penting dalam organisasi.

Oleh sebab itu, kita tidak berasa hairan masalah berkaitan GISB terbongkar dalam keadaan ibarat barah tahap empat.

Masalah itu dibiarkan berlaku dan merebak sungguhpun ada pihak telah lama bercakap mengenainya.

Selain tidak bagus dari kaca mata agama dan memberi impak buruk kepada negara, semua itu membahayakan kerajaan semasa pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Keadaan ini diambil kesempatan oleh pihak yang memusuhi Kerajaan Perpaduan dengan menabur fitnah serta dakwaan penuh kebencian.

Masalah ini tidak seharusnya berterusan dibiarkan dan sepatutnya sudah lama diberi perhatian.

Menteri, pengarah jabatan, ketua pejabat, dan majikan seharusnya lebih peka akan permasalahan ini.

Pun begitu, kalaulah orang dalam kementerian, pengarah sebuah jabatan, atau ketua pejabat sendiri sebenarnya musang, masalah ini menjadi parah dan sukar diselesaikan.

Jika ini berlaku, sampai bila-bila pun kerajaan tidak aman malahan sentiasa bermasalah.

Mahukah kita biarkan semua ini berlaku? Jika tidak, siapa seharusnya memperbetul kepincangan ini?

Related Posts

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat