
MIRI – Kegagalan mengemukakan dokumen penting membawa padah apabila sebuah kapal tunda bersama tongkang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri dalam satu operasi penguatkuasaan pada Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tindakan tersebut diambil selepas pemeriksaan mendapati kapal berkenaan tidak memiliki dokumen sah seperti yang diwajibkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Menurut beliau, aset Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan kapal tersebut pada kira-kira jam 1.30 petang di kedudukan lebih kurang 2.44 batu nautika dari barat daya Kuala Miri.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu dikendalikan oleh 12 kru warga asing yang kesemuanya merupakan rakyat Indonesia dalam lingkungan umur antara 24 hingga 55 tahun. Susulan pelanggaran tersebut, perintah tahanan telah dikeluarkan terhadap kapal berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, seorang nakhoda bersama seorang kru kapal telah dibawa ke darat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan pernah berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan melanggar undang-undang perkapalan, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan di laut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti mencurigakan atau kecemasan di perairan disaran untuk menghubungi talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Miri (085-649111), atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016).




