89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 112 114 111 103 114 97 109 32 73 108 109 117 97 110 32 77 65 68 65 78 73 32 83 105 114 105 32 49 49 32 100 105 32 75 111 109 112 108 101 107 115 32 83 101 114 105 32 80 101 114 100 97 110 97 44 32 80 117 116 114 97 106 97 121 97 46 32 50 54 32 65 112 114 105 108 32 50 48 50 54 46 32 70 65 84 72 32 82 73 90 65 76 47 80 101 106
PUTRAJAYA – Malaysia perlu memperkukuh keupayaan dalam mengurus ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar susulan ketegangan geopolitik semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, meskipun sebahagian tekanan ekonomi berpunca daripada faktor luar yang tidak dapat dikawal, kerajaan perlu kekal responsif serta berpandangan jauh dalam mengurus risiko jangka pendek dan merancang prospek jangka panjang.
“Perkara paling tidak diingini dalam mana-mana ekonomi ialah ketidaktentuan. Justeru, perkembangan terkini membabitkan konflik di Asia Barat serta implikasinya kepada rantau ini menimbulkan cabaran yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Siri 11 Ilmuwan Malaysia MADANI bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di sini.
Menurutnya, kerajaan ketika ini masih mampu mengekalkan kestabilan harga bahan api domestik, dengan harga RON95 kekal antara yang terendah di dunia.
Namun, katanya, langkah itu melibatkan komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai dari segi kemampanan jangka sederhana serta panjang.
“Buat masa ini kita masih boleh mengekang kenaikan harga. Namun, adakah ia mampan dalam jangka sederhana atau panjang? Itu persoalan asas. Kerajaan perlu menanggung subsidi melebihi RM7 bilion bagi mengurus kesannya kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, bekalan petrol negara masih terkawal hasil pengeluaran domestik serta pengurusan oleh Petroliam Nasional Berhad, namun bekalan diesel menjadi cabaran yang lebih mendesak.
“Diesel menjadi isu utama. Berbanding petrol, kita lebih terhad dan perlu berdepan kemungkinan kekurangan bekalan,” katanya.
Tambah beliau, keperluan domestik menyebabkan Malaysia tidak dapat memenuhi permintaan eksport diesel walaupun terdapat permintaan daripada negara lain.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan keperluan untuk meningkatkan keupayaan negara dalam membuat jangkaan risiko ekonomi bagi tempoh jangka pendek dan sederhana, selain memastikan pengurusan ekonomi terus menjadi keutamaan dasar kerajaan.
“Dalam masa yang sama kita masih perlu melihat ke hadapan. Kajian masa depan amat penting bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa, tetapi juga menjangka landskap akan datang dalam dunia pascanormal,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa negara Islam supaya kekal proaktif serta berani meneroka ruang pembaharuan dan kerjasama strategik, meskipun sistem global ketika ini banyak dipengaruhi oleh kuasa Barat.
Katanya, usaha memperbaharui struktur kewangan antarabangsa telah lama dibangkitkan sejak 1990-an, namun masih belum mencapai kemajuan ketara berikutan kekurangan iltizam kolektif, termasuk dalam kalangan negara Islam.
“Sejak 1990-an ketika saya menjadi Menteri Kewangan, terdapat desakan kuat untuk memperbaharui struktur kewangan antarabangsa, tetapi belum ada perkembangan ketara.
“Usaha ini juga gagal dilaksanakan, termasuk dalam kalangan negara Islam, untuk memulakan dengan keberanian yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berskala kecil tetapi praktikal antara beberapa negara Islam seperti Malaysia, Türkiye, Indonesia dan Pakistan boleh menjadi langkah awal dalam memperkukuh daya tahan ekonomi serta institusi.
Forum berkenaan turut menampilkan barisan panel penceramah antarabangsa dan tempatan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna, serta Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura, Dr Khairudin Aljunied.



