
SARATOK – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun disyaki terlibat dalam kes curi dalam rumah di Kampung Melango Lama, Saratok, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian disedari oleh pengadu apabila mendapati dua unit telefon bimbit serta wang tunai dianggarkan RM700 telah hilang.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati pintu bahagian dapur rumah berkenaan berada dalam keadaan tidak berkunci, dipercayai menjadi laluan masuk suspek ke dalam kediaman tersebut.
“Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah satu unit telefon bimbit jenama Vivo Y71 dan satu unit telefon bimbit Redmi Note 12 dengan anggaran nilai keseluruhan sekitar RM1,000, selain wang tunai kira-kira RM700. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM1,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, bertindak atas maklumat dan siasatan, pihak polis Saratok berjaya menahan suspek pada hari yang sama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hulu, Saratok.
Siasatan juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk curi dalam bangunan, menerima barang curi serta kesalahan berkaitan dadah.
Suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek juga mengaku dan memaklumkan bahawa dia berada di bawah pengawasan polis selama enam bulan dan sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci kereta namun telah dibuang kerja dua minggu lalu,” jelasnya lagi.
Suspek turut mengaku bertindak bersendirian dan telah membelanjakan wang yang dicuri untuk membeli makanan, barang keperluan harian serta bekalan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan pintu dan tingkap rumah berkunci serta meningkatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.



