Krisis bekalan global: Malaysia tumpu ketahanan berdepan risiko bekalan

PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan keperluan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran kelembapan ekonomi global yang dipengaruhi oleh peningkatan kos dunia serta gangguan rantaian bekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, walaupun Malaysia dijangka masih memiliki bekalan petroleum yang mencukupi untuk tempoh beberapa bulan akan datang, negara tidak terkecuali daripada berdepan cabaran lain termasuk kemungkinan gangguan bekalan diesel dan baja yang boleh memberi kesan kepada ekonomi domestik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 bertemakan Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa kekuatan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan global banyak bergantung kepada perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama, yang menjadi asas penting kepada kestabilan negara.

“Kita berbangga untuk menyatakan, alhamdulillah di negara berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia, wujud semangat perpaduan serta iltizam untuk mempertahankan negara serta berganding bahu dalam menyelesaikan cabaran.

“Saya tidak percaya ada masalah yang tidak mampu diatasi. Apa yang kita perlukan ialah iltizam dan membina daya tahan yang kukuh dalam kalangan rakyat kita,” katanya.

Mengulas perkembangan antarabangsa, Perdana Menteri berkata, landskap geopolitik dunia kini semakin kompleks khususnya susulan konflik berpanjangan di Asia Barat yang memberi kesan besar terhadap politik serta ekonomi global.

Beliau turut mengecam tindakan pencerobohan berterusan Israel yang disokong Amerika Syarikat, yang menurutnya telah mencetuskan krisis kemanusiaan serius termasuk di Gaza, Lubnan serta beberapa wilayah lain.

“Penderitaan di Gaza dan perjuangan Palestin tidak boleh sama sekali dilupakan atau diabaikan. Dunia sedang menyaksikan kekejaman pada tahap yang sukar dibayangkan,” katanya.

Tambah beliau, dasar luar Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, termasuk dalam menangani konflik di Myanmar serta isu serantau lain, selain menekankan kepentingan pendekatan antarabangsa yang lebih berprinsip dan bersepadu.

Forum berkenaan turut menampilkan barisan panel tempatan dan antarabangsa, antaranya Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmeddin Bilal Erdoğan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Pengarah Islamic Institute for Development and Research (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna, serta Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura, Dr Khairudin Aljunied.

Related Posts

Aminuddin selesai menghadap Tuanku Muhriz, sidang media diadakan petang ini

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dipercayai telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tengah hari tadi bagi membincangkan krisis pentadbiran. Ini disebabkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia perlu tingkat keupayaan hadapi ketidaktentuan ekonomi global – PM

PUTRAJAYA – Malaysia perlu memperkukuh keupayaan dalam mengurus ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar susulan ketegangan geopolitik semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, meskipun sebahagian tekanan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Aminuddin selesai menghadap Tuanku Muhriz, sidang media diadakan petang ini

Aminuddin selesai menghadap Tuanku Muhriz, sidang media diadakan petang ini

Sabah perkukuh sekuriti makanan dan infrastruktur, tangani impak ekonomi global

Sabah perkukuh sekuriti makanan dan infrastruktur, tangani impak ekonomi global

Suspek serang majlis dihadiri Trump disifatkan sebagai ‘seorang yang sakit’

Suspek serang majlis dihadiri Trump disifatkan sebagai ‘seorang yang sakit’

Krisis bekalan global: Malaysia tumpu ketahanan berdepan risiko bekalan

Krisis bekalan global: Malaysia tumpu ketahanan berdepan risiko bekalan

Malaysia perlu tingkat keupayaan hadapi ketidaktentuan ekonomi global – PM

Malaysia perlu tingkat keupayaan hadapi ketidaktentuan ekonomi global – PM

Dapat sokongan penuh, Sibu bakal diangkat hab sukan air antarabangsa

Dapat sokongan penuh, Sibu bakal diangkat hab sukan air antarabangsa