
LIMBANG – Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Limbang melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas berlangsung selama tiga hari di Stadium Limbang, sekali gus mencatatkan penyertaan memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kejayaan penganjuran program tersebut adalah hasil komitmen tinggi serta usaha bersepadu daripada agensi kerajaan, penganjur dan sokongan padu rakyat.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Limbang ini.
“Saya juga berharap agar objektif penganjurannya benar-benar tercapai dan memberi impak positif kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan program berkenaan di sini.
Beliau turut meluahkan rasa bangga apabila Limbang dipilih sebagai lokasi pertama jelajah berkenaan, yang secara tidak langsung membuktikan kepentingan bahagian itu dalam agenda pembangunan negeri.
Pada masa yang sama, Hasbi menggesa masyarakat agar terus mengambil peluang daripada penganjuran program seumpama itu untuk mendapatkan pelbagai manfaat yang disediakan oleh pihak kerajaan.
“Kepada rakyat, saya amat berharap agar kehadiran sepanjang tiga hari program ini dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya dalam memahami inisiatif yang dibawa ke Limbang,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian disediakan termasuk pameran, penyampaian maklumat, serta tawaran bantuan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Tambah beliau, biarpun dunia kini semakin pantas dipacu teknologi digital, program berkonsepkan fizikal masih relevan kerana ia membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kerajaan.
“Jika sebelum ini kita hanya memperoleh maklumat melalui medium digital, namun melalui program ini, masyarakat dapat berinteraksi secara terus dan melihat sendiri perkhidmatan yang disediakan.
“Saya percaya interaksi bersemuka ini mampu memberi kefahaman yang lebih jelas serta memudahkan rakyat mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan dasar, bantuan dan inisiatif kerajaan,” jelasnya.
Program Sarawakku Sayang merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat secara terus, di samping memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat tempatan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai.





