
KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa.
Sehubungan itu, Pasukan Pengurusan Krisis MTEN menasihatkan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.
“Kerajaan mengambil maklum laporan media Filipina mengenai penghantaran 329,000 tong diesel dari Malaysia.
“Semakan awal mengesahkan diesel tersebut bukan berasal daripada Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan merujuk kepada sumber rasmi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Sebelum ini, Petronas turut mengeluarkan kenyataan senada yang menafikan sebarang penglibatannya dalam pembekalan diesel ke Filipina.
Terdahulu, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api negara itu ketika ketidaktentuan pasaran global.
Menurut laporan itu, penghantaran itu sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac.





