KUALA KANGSAR – Empat individu ditahan manakala 17 motosikal disita dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di lampu isyarat Simpang Lawin, Jalan Kuala Kangsar – Gerik, di sini, malam Jumaat.
Operasi sekitar jam 10 malam itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Polis Heisham Harun berkata, kesemua penunggang motosikal berkenaan ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.
“Dalam operasi sama, sebanyak 252 saman dikeluarkan oleh polis manakala 119 notis oleh JPJ atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta pengubahsuaian kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seramai 12 penunggang turut menjalani ujian saringan air kencing, dengan dua daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kedua-dua individu tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi aktiviti berbahaya ini dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan,” ujarnya.





