
KOTA KINABALU – Seramai 157 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya yang kini mengikuti pembelajaran di masjid, balai raya dan khemah akan dipindahkan ke SK Sungai Nangka sebaik kerja penyelenggaraan tiga blok bangunan di sekolah berkenaan siap dilaksanakan.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, peruntukan kira-kira RM2.5 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kerja penyelenggaraan di SK Sungai Nangka.
”Apabila bangunan sekolah berkenaan mengalami keretakan, dan atas nasihat JKR supaya kosongkan bangunan tersebut, maka kami telah mengambil inisiatif untuk memindahkan murid-murid yang terlibat ke tempat-tempat yang dinyatakan.
”Pada mulanya, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah dilaksanakan, tetapi ibu bapa macam tidak berapa selesa disebabkan penglibatan anak-anak mereka terhad.
”Jadi, kami telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama semua ibu bapa yang terlibat dan mereka telah bersetuju untuk menggunakan masjid kampung tersebut dan balai raya sebagai tempat untuk belajar sementara.
”Perkara ini bukan tidak diketahui ibu bapa, malah dipersetujui, itulah tindakan yang terbaik pada ketika itu,” ujarnya kepada media pada Khamis.
Menurut Raisin, peruntukan tersebut diluluskan selepas pihaknya bersama-sama Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya.
“Kami berjumpa sendiri dengan KSU KPM untuk memaklumkan masalah ini dan hasil perbincangan, peruntukan RM2.5 juta diluluskan.
“Hasil perbincangan mendapati, penggunaan kabin dan tiadanya lokasi yang bersesuaian untuk meletakan kabin berkenaan serta kos yang tinggi menyebabkan ia tidak digunakan.
“Kami sudah buat pelbagai pendekatan dan setelah berbincang, akhirnya pendekatan yang terbaik ialah menyelenggara bangunan di SK Sungai Nangka,” jelasnya.

Raisin berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga blok kosong di SK Sungai Nangka, untuk dijadikan kelas sementara untuk kegunaan murid-murid tersebut.
“Kami telah mengenal pasti sekolah yang sangat hampir untuk tidak membebankan ibu bapa, dan sekolah itu lah yang paling hampir.
”Pelajar-pelajar SMK Balaban Jaya juga boleh belajar di bangunan itu pada sesi petang, jadi penyelesaiannya memang sudah ada.
”Status terkini ialah pihak kami iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan JPN telah membuat anggaran perbelanjaan untuk menyelenggara bangunan di SK Sungai Nangka dan peruntukan telah pun kami terima untuk menyelenggara.
“Jadi orang ramai kenalah bersabar,” kongsinya.
Dalam pada itu, Raisin memaklumkan, iklan bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekolah berkenaan akan dibuka pada Mei depan.
”Iklan kerja-kerja penyelenggaraan akan dikeluarkan pada bulan Mei depan dan insya-Allah, Surat Setuju Terima (SST) untuk mula kerja-kerja tersebut akan dikeluarkan pada bulan Jun.
”Memandangkan kosnya melibatkan jumlah yang besar, jadi keputusan untuk melantik kontraktor bukan di bawah bidang Jabatan Pendidikan Sabah sebab melebihi had yang di bawah kuasa Pengarah Pendidikan,” kongsinya.
Tambah Raisin, pihaknya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan bagi meninjau situasi sebenar masalah yang dihadapi sejak Januari lalu.
Ditanya mengenai punca keretakan di sekolah berkenaan, Raisin berkata, ia disebabkan oleh kesan daripada kerja-kerja pembinaan SMK Balaban Jaya di kawasan berdekatan.
”Sebenarnya, pelajar-pelajar SMK Balaban Jaya memang menumpang di SK Balaban Jaya, disebabkan kerja-kerja membina bangunan sekolah menengah tersebut sedang dilaksanakan.
”Penanaman besi-besi jerujuk untuk mengukuhkan tapak bangunan telah memberi kesan kepada sekolah rendah tersebut,” kongsinya.

Dalam pada itu, Raisin menjelaskan, pihaknya juga telah menemui tapak baharu bagi membina bangunan SK Balaban Jaya.
Walau bagaimanapun katanya, disebabkan oleh kesan kepada gegaran tersebut, kajian forensik perlu dilaksanakan semula terhadap kawasan berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebooknya pada Sabtu, telah mengarahkan agar mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan penyelesaian segera dilaksanakan.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan dan ICU Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya.
Kelmarin, ADUN Likas, Tham Yun Fook dalam kenyataan medianya pada Jumaat berkata, telah menerima aduan daripada ibu bapa Sekolah Kebangsaan Balaban Jaya di Beluran yang sedang menghadapi isu ketiadaan bangunan sekolah kekal yang lengkap dan kini ditempatkan belajar di khemah tidak berdinding dan kaki lima sebuah Masjid.
Tham turut meminta Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah mengambil langkah segera dan turun padang bagi mengadakan penyelesaian sementara dalam memastikan murid-murid dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif sementara menunggu bangunan kekal siap.







