PUTRAJAYA – Kerajaan menggalakkan orang ramai mempertimbangkan penggunaan skim Time of Use (ToU) sebagai salah satu langkah praktikal untuk membantu menjimatkan bil elektrik di samping meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga negara ketika berdepan ketidaktentuan harga tenaga global.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sehingga Februari lalu, seramai 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan tenaga secara lebih cekap.
Menurut kementerian itu, skim berkenaan memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik yang lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membolehkan penjimatan dilakukan melalui perubahan corak penggunaan tenaga harian.
Di bawah skim ToU, waktu puncak lazimnya merujuk kepada tempoh permintaan elektrik yang tinggi pada hari bekerja, iaitu antara jam 2 petang hingga 10 malam, dengan kadar tarif yang lebih tinggi dikenakan.
Sebaliknya, waktu luar puncak meliputi tempoh permintaan elektrik yang lebih rendah seperti pada waktu malam hingga pagi, hujung minggu serta cuti umum, yang menawarkan kadar tarif lebih rendah kepada pengguna.
“Perbezaan kadar ini memberi insentif kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik secara lebih efisien,” menurut kenyataan itu lagi.
PETRA menjelaskan bahawa melalui skim ToU, pengguna boleh mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan penyaman udara, mesin basuh, pemanas air serta pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.
“Pendekatan ini bukan saja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga lebih cekap dan mampan,” katanya.
PETRA berkata, skim ToU juga dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu rakyat mengurus perbelanjaan bil elektrik selain menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah serta mengurangkan beban permintaan elektrik ketika waktu puncak.
Justeru, usaha memperluaskan penggunaan skim berkenaan akan terus dipertingkatkan selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan sumber serta kecekapan tadbir urus.
“Penggunaan tenaga secara berhemah bukan saja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menyumbang kepada kemampanan alam sekitar dan pembangunan negara yang lebih seimbang untuk generasi masa hadapan,” menurut kenyataan itu.




