Kerajaan beri amaran terhadap syarikat salah guna pembelian bahan api

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana syarikat korporat atau industri yang didapati membeli bahan api di stesen minyak pada harga pam secara tidak sah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tindakan itu menyalahi peraturan kerana syarikat sepatutnya mendapatkan bekalan bahan api secara terus daripada syarikat minyak pada harga pasaran sekitar RM7 hingga RM8 seliter.

Menurut beliau, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membeli diesel pada harga RM6.72 seliter di stesen minyak, walaupun sebahagian daripada kos bahan api berkenaan masih ditanggung kerajaan.

“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menghentikan aktiviti channel switching atau berdepan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan kini mempergiat pemantauan bagi memastikan bekalan bahan api dalam negara tidak terjejas akibat aktiviti berkenaan.

Pada masa sama, katanya, usaha penguatkuasaan juga diperkukuh bagi mengekang penyeludupan dan penyelewengan bahan api, khususnya di kawasan sempadan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini, manakala harga runcit tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.

Bagi diesel pula, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung meningkat 70 sen kepada RM6.72 seliter.

Amir Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa dengan melaporkan salah laku berkaitan bahan api.

Antara laporan diterima termasuk kes warga asing yang mengisi kenderaan mereka dengan RON95 serta aktiviti mencurigakan di stesen minyak dan kawasan sempadan negara.

“Semangat kebersamaan inilah yang membantu kita dalam menghadapi krisis. Dalam keadaan dunia yang masih tidak menentu ini, kekuatan kita terletak pada kesepakatan, kesederhanaan dan kebersamaan.

“Kita perlu tanamkan semangat dan azam yang kuat sebagai satu masyarakat yang bersatu padu,” katanya.

Mengulas prestasi ekonomi negara, beliau berkata, Malaysia memasuki tahun 2026 dengan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan.

Jelasnya, perkembangan itu didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan eksport, inflasi yang terkawal, kadar pengangguran yang rendah serta prestasi ringgit yang muncul sebagai antara mata wang terbaik di Asia.

“Kedudukan inilah yang menjadikan Malaysia unik, berbanding negara-negara lain di rantau ini. Dengan asas ekonomi yang kukuh, Malaysia terus berdaya tahan dalam mendepani krisis tenaga global.

“Keadaan ini berlaku kerana sejak tiga tahun lepas, Malaysia telah mengamalkan dasar-dasar penting yang dapat memacu ekonomi dan pada masa yang sama, meletakkan disiplin fiskal yang ketat,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi merupakan antara langkah penting yang memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk menyerap kejutan ekonomi semasa.

“Hari ini, Malaysia telah menunjukkan daya tahan, daya saing dan kestabilan yang menyebabkan pelabur asing terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Inilah hikmahnya,” katanya.

Related Posts

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

KITA telah berbicara tentang pembinaan negara bangsa dan hati nurani sebuah tamadun. Tentang bagaimana sesebuah negara tidak mampu berdiri hanya melalui kekuatan institusi atau pembangunan material semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

SEPANG – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sebanyak 54 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia