
PEMBANGKANG cuba membina persepsi seolah-olah PMX menggunakan helikopter untuk ‘berseronok’ ketika rakyat berdepan isu harga minyak.
Hakikatnya, itu tidak tepat, salah malah bersifat menghasut tanpa asas fakta yang jelas.
Muktamad.
Pertama, seorang Perdana Menteri memang mempunyai hak menggunakan pengangkutan udara rasmi, termasuk helikopter. Ini semua atas faktor keselamatan, masa dan logistik. Siapa pun jadi Perdana Menteri ini semua memang telah terangkum dalam protokol keselamatan dan hak prerogratif seorang Perdana Menteri.
Bahkan, kesemua Perdana Menteri sebelum ini juga menggunakan kaedah sama apabila jadual mereka padat dan melibatkan beberapa negeri dalam masa singkat.
Kedua, lawatan tersebut bukan lawatan santai.
PMX berada di Pengerang untuk mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi menyiapkan pusat pendidikan. Ini bukan perkara kecil. Ini masa depan anak-anak kita, rakyat Johor terutamanya.
RM100 juta bermaksud peluang pendidikan lebih baik, membuka peluang pekerjaan baharu. Menjadikan kawasan sekitar sebagai tarikan pelaburan industri dan pelan pembangunan jangka panjang. Ini bukan konvoi kosong. Bukan setakat konvoi RXZ.
Ketiga, isu ‘berjimat’ juga perlu difahami dalam konteks sebenar.
Apabila kerajaan menyeru rakyat berjimat, ianya merujuk kepada penggunaan sumber secara berhemah termasuk kepada kerajaan sendiri, tetapi bukan bermaksud pemimpin tidak boleh menjalankan tugas rasmi menggunakan ‘apparatus’ kerajaan.
Tambahan pula, penggunaan helikopter seringkali lebih menjimatkan masa dan kos keselamatan berbanding konvoi panjang darat yang memerlukan kawalan trafik dan penglibatan ramai anggota keselamatan.
Ironinya, pembangkang seperti ketandusan idea apabila usaha mereka menarik rakyat ke jalanan melalui himpunan di SOGO gagal.
Kesian.
Pembangkang seolah gagal memahami hasil jangka pendek dan panjang yang diterima oleh rakyat.
Menyerang itu mudah, namun berpada-pada. Jangan terlalu dilihat terdesak dan ketandusan idea. Mungkin boleh dimulakan dengan menamakan calon Perdana Menteri daripada pihak pembangkang yang tak kunjung selesai-selesai.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


