
PADANG BESAR – Inisiatif Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup mula dirasai apabila penduduk luar bandar menyifatkan langkah tersebut sebagai melegakan beban mereka.
Lebih 150 warga Felda Chuping hadir dalam program Bicara Cinta Bangsa bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung usaha kerajaan menangani kesan krisis global termasuk konflik melibatkan Iran.
Kehadiran penduduk tetap tidak terjejas meskipun kawasan berkenaan bergelap seketika akibat litar pintas, dengan mereka setia menunggu sehingga lewat malam.
Pengerusi JPKKP Kampung Felda Chuping, Izan Asmawi Habidan berkata, beliau berasa lega dengan pendekatan kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung dengan situasi ekonomi semasa.
Menurut beliau, langkah mitigasi yang dilaksanakan memberi keyakinan kepada penduduk luar bandar untuk terus berdepan cabaran ekonomi.
“Saya amat bersyukur dengan inisiatif kerajaan MADANI.
“Ia tentu sekali membantu kami penduduk di Felda Chuping yang berpendapatan rendah,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Pawi.
Seorang lagi penduduk, Sohimi A Manaf berkata, beliau turut merasai kesan tekanan ekonomi namun inisiatif kerajaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban tersebut.
“Saya bekerja sendiri dan mempunyai bengkel sendiri, namun saya turut merasa cabaran ekonomi tetapi dengan inisiatif yang kerajaan adakan ini buatkan saya agak lega,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Cinta Bangsa, Dr Khairul Anam Che Mentri berkata, negara hanya mampu mendepani krisis sekiranya rakyat bersatu padu dan memahami usaha kerajaan.
“Namun perpaduan yang utuh menuntut penerangan jelas tentang segala ikhtiar kerajaan menyelamatkan negara daripada krisis tersebut,” katanya.
Program anjuran MyPesona dan Pertubuhan Cinta Bangsa dengan kerjasama pemimpin masyarakat itu akan terus diperluaskan ke seluruh negeri Perlis bagi memastikan maklumat tepat sampai kepada masyarakat luar bandar.



