
SIBURAN – Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempergiat gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menerusi pelancaran jentera pilihan raya Zon 4 bagi menyelaras tumpuan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh hari ini.
Majlis pelancaran anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Kampung Sinjok disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Penyelarasan itu merangkumi lapan kerusi DUN kawasan Bidayuh iaitu Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja yang kesemuanya menyaksikan pertandingan pada hari pengundian 12 Disember ini.
Berucap pada majlis berkenaan, Fadillah menegaskan walaupun membabitkan lapan kerusi, perwakilan masyarakat Bidayuh tetap penting bagi memastikan suara serta kepentingan komuniti itu dibawa ke peringkat DUN dalam membentuk dasar pentadbiran negeri termasuk menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Seluruh jentera GPS digesa supaya tidak leka atau selesa meskipun memperoleh kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi DUN pada hari penamaan calon semalam,” ujar Fadillah.
Beliau turut menggalakkan jentera di kawasan yang menang tanpa bertanding supaya turun membantu calon GPS daripada semua parti komponen yang sedang berdepan saingan sepanjang tempoh kempen ini bagi memastikan kemenangan menyeluruh gabungan tersebut.
Pelancaran jentera di peringkat zon itu turut menghimpunkan kepimpinan parti, ahli Pemuda PBB serta petugas lapangan bagi memperkemas penyampaian maklumat dan strategi gerak kerja bersama akar umbi di setiap kawasan terlibat.



