
MIRI – Projek Lebuhraya Trans Borneo (Seksyen Miri) dan Projek Menaik Taraf Jajaran Redline Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, khususnya Seksyen Tudan, mula dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan serta kelancaran perjalanan di utara Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, majlis pecah tanah bagi kedua-dua projek yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini merupakan perkembangan penting dalam usaha menaik taraf jaringan jalan raya di Miri.
Menurut beliau, kerja menaik taraf jajaran Redline di laluan Kuala Baram Bypass amat diperlukan kerana keadaan jalan berkenaan telah lama menimbulkan kebimbangan pengguna akibat kerosakan struktur yang semakin serius.
“Isu tersebut telah beberapa kali dibangkitkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang, termasuk mengemukakan soalan lisan di Parlimen pada 11 November 2025 untuk mendesak tindakan menaik taraf laluan dari Sungai Baram hingga ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.
“Melalui jawapan di Parlimen, beliau mengesahkan bahawa jajaran sepanjang 4.95 kilometer telah dimasukkan dalam Projek Lebuhraya Trans Borneo, manakala satu lagi jajaran sepanjang 9.7 kilometer merupakan sebahagian daripada laluan Redline yang sedang diusahakan untuk kerja-kerja naik taraf struktur jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Choon Man menambah, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya selepas persidangan Parlimen bagi membincangkan pelaksanaan projek infrastruktur Persekutuan di Miri, termasuk keperluan mendesak di Kuala Baram Bypass.
Jelasnya, penyelenggaraan rutin dan kerja menampal lubang jalan tidak lagi mencukupi untuk mengatasi kerosakan struktur berikutan pertambahan aliran trafik serta kenderaan berat di laluan itu.
Beliau berkata, Kuala Baram Bypass bukan sahaja penting kepada penduduk tempatan malah berfungsi sebagai koridor pengangkutan rentas sempadan yang menghubungkan Malaysia dengan Brunei Darussalam, sekali gus menyokong perdagangan, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi di utara Sarawak.
Pada masa sama, Choon Man merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Menteri Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya dan JKR Sarawak atas komitmen serta maklum balas terhadap keperluan infrastruktur Miri.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan kedua-dua projek agar siap mengikut jadual selain meneruskan usaha mendapatkan kelulusan projek lain di Miri termasuk menaik taraf Bulatan GK serta laluan yang menghubungkan Saberkas dengan Pujut 7.
“Usaha kita tidak terhenti setakat mendapatkan kelulusan projek. Apa yang lebih penting ialah memastikan projek berkenaan dilaksanakan dan disiapkan supaya rakyat Miri benar-benar dapat menikmati manfaatnya,” katanya.



