
TANJUNG MALIM – Seorang pekerja syarikat swasta yang beroperasi di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah stor peralatan pembersihan yang berkunci di UPSI Sports Bowl, awal pagi Selasa.
Mangsa, Mohd Radzi Ariffin, 53, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam stor berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 1.57 pagi bagi membantu membuka pintu stor yang berkunci.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira sembilan kilometer dan tiba pada jam 2.07 pagi.
“Setibanya di lokasi, pintu stor didapati telah dibuka terlebih dahulu oleh Polis Bantuan UPSI. Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki berusia 53 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, ketua operasi kemudian menjalankan penilaian situasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota membuat pemantauan bagi memastikan keadaan selamat.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS). Ia berjaya dikawal pada jam 2.17 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.36 pagi.
Sementara itu, pihak UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa berkemungkinan mengalami serangan jantung.
“Proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Slim River dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bernam di sini.
“UPSI akan terus memantau perkembangan kes dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga arwah,” menurut kenyataan itu.



