
TAWAU – Kerajaan Sabah digesa menyegerakan projek mendalam dan mengorek takungan air sedia ada di Empangan Wallace Bay Pulau Sebatik sebagai inisiatif jangka panjang menangani krisis bekalan air yang membelenggu lebih 5,000 penduduk di kawasan itu.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, projek itu diluluskan di bawah peruntukan dana negeri (state fund) dalam RMK13, namun sehingga kini masih menunggu kelulusan akhir dan pelaksanaan kerana berada di peringkat perolehan.
“Empangan utama itu bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan kini berada pada tahap kritikal apabila paras air menyusut kepada sekitar 0.9 meter akibat kemarau berpanjangan sejak Februari lalu.
“Projek mendalam empangan sebenarnya telah lama dipohon, tetapi belum dapat dilaksanakan kerana kos tinggi dianggarkan hampir RM40 juta hanya untuk pendalaman.
“Kejadian kemarau semasa ini turut dipengaruhi oleh fasa monsun dan sekiranya ia berterusan, tindakan segera Kerajaan Negeri adalah sangat di perlukan,” ujarnya kepada media selepas melawat Empangan Wallace Bay di Pulau Sebatik pada Sabtu.
Tambah Suryady, empangan yang sepatutnya mempunyai kedalaman sehingga 17 meter itu semakin cetek akibat lumpur dengan kapasiti sebenar kini dianggarkan kira-kira 12 meter.

Jelasnya, keadaan tersebut membimbangkan dan menjejaskan bekalan air kepada beberapa kampung termasuk kawasan Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang dan Bergosong.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, pihak saya telah mengagihkan bekalan air mineral kepada setiap rumah terjejas selain catuan bekalan air oleh Jabatan Air Sabah Bahagian Tawau secara berjadual di beberapa kampung untuk memastikan pengagihan lebih teratur.
“Kini dua unit Loji Rawatan Air Mudah Alih (Portable Water Purification Plant atau PWPP) dengan kapasiti 1,000 liter sejam juga dipasang 24 jam untuk memproses air daripada ‘tubewell’.
“Sekarang ini PWPP baru ada dua iaitu di Kampung Bergosong dan Kampung Sungai Laba.
“Kita telah mohon tambahan daripada pihak Jabatan Air untuk tambahan kemudahan ini,” kongsinya.



