MINDA TOK ABAH: Membetulkan yang biasa dalam dunia yang tidak lagi biasa

DALAM politik, kita sering terperangkap dalam satu ilusi seolah-olah setiap kali Perdana Menteri bertukar, maka seluruh nasib negara turut berubah serta-merta. Kita menilai kepimpinan seperti menukar halaman buku, mengharapkan jalan cerita yang berbeza tanpa benar-benar memahami struktur naratif yang telah lama terbina.

Di sinilah letaknya perbezaan yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kerangka Malaysia MADANI, persoalannya bukan sekadar siapa yang memerintah, tetapi bagaimana sistem itu diperbetulkan. Ia bukan perubahan yang bersifat kosmetik atau retorik jangka pendek, tetapi satu usaha yang lebih dalam, dengan membetulkan apa yang telah lama dianggap biasa, dan membiasakan semula apa yang sepatutnya betul.

Tetapi dunia hari ini tidak lagi semudah itu. Krisis tenaga global, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik sedang mengubah cara negara berfungsi. Apa yang berlaku di Eropah, Timur Tengah atau Asia Timur di ribuan batu itu namun, kesannya tidak lagi jauh untuk masuk ke dalam ruang domestik kita. Harga, bekalan dan keyakinan semuanya saling terhubung dalam satu sistem global yang semakin rapuh.

Dalam keadaan seperti ini, mudah untuk kita kembali kepada naratif lama dengan menyalahkan pemimpin. Walhal, persoalan yang lebih jujur barangkali bukan siapa yang memimpin, tetapi sistem apa yang sedang kita warisi dan dalam masa sama adakah kita berani membetulkannya atau meneruskannya.

Malaysia tidak pernah dibentuk oleh seorang Perdana Menteri sahaja. Ia adalah hasil daripada lapisan keputusan yang panjang. Ada keputusan yang tepat, ada yang tertangguh, dan ada yang dibiarkan menjadi beban kepada generasi seterusnya. Sistem yang kita ada hari ini bukan muncul secara tiba-tiba. Ia adalah hasil daripada kebiasaan yang terlalu lama dibiarkan.

Di sinilah makna sebenar perubahan itu mula diuji. Di bawah kerangka Malaysia MADANI, pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar menukar kepimpinan, tetapi cuba menyentuh sesuatu yang lebih mendasar dengan membetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul. Ia bukan usaha yang dramatik, tetapi bersifat tekun dan berterusan.

Reformasi seperti penyasaran semula subsidi atau penegasan terhadap tatakelola bukan langkah yang memberi kepuasan segera. Dalam jangka pendek, ia sering kelihatan seperti beban. Tetapi dalam jangka panjang, ia adalah usaha untuk mengeluarkan negara daripada kebergantungan kepada sistem yang rapuh dan tidak adil.

Dan semua ini berlaku ketika dunia sendiri sedang bergolak. Kita harus jujur bahawa apa yang kita hadapi hari ini adalah krisis global yang memberi kesan domestik. Namun cara kita mengurus kesan itu telah meletakkan perbezaan antara sebuah kerajaan yang sekadar bertahan, dan sebuah kepimpinan yang mempunyai arah.

Setakat ini, Malaysia masih berdiri dalam keadaan yang relatif stabil. Kehidupan harian masih berjalan, keyakinan belum runtuh, dan tekanan belum diterjemahkan menjadi kegelisahan yang meluas seperti di banyak tempat lain.

Namun kestabilan ini tidak boleh disalah tafsir sebagai ketiadaan cabaran. Ia adalah hasil daripada satu pendekatan yang masih bersifat seimbang. Kita tidak defensif terhadap kritikan, tetapi tidak juga tunduk kepada tekanan populis. Dalam kata lain, satu gaya kepimpinan yang cuba jujur, konsisten, teguh dan bertujuan.

Namun, di sinilah komunikasi menjadi ujian sebenar. Dalam dunia yang pantas menilai, persepsi sering mendahului fakta. Tanpa kefahaman yang tepat, krisis global boleh dengan mudah disempitkan menjadi kegagalan domestik. Lebih membimbangkan, ia boleh mencetuskan reaksi yang tidak perlu, termasuk hilang keyakinan, atau kemarahan yang tidak berasas.

Sebab itu, membina keyakinan hari ini bukan sekadar tugas kerajaan. Ia adalah tanggungjawab kenegaraan yang lebih luas. Dalam dunia yang tidak lagi biasa ini, kita semua adalah sebahagian daripada sistem yang sama. Sama ada sebagai pembuat dasar, pelaksana, atau pengguna.

Mungkin inilah saatnya kita melihat semula hubungan antara kerajaan dan rakyat. Bukan sebagai pihak yang saling menuding, tetapi sebagai rakan dalam menghadapi satu realiti yang lebih besar daripada kita semua. Kerana akhirnya, krisis ini tidak memilih siapa yang akan terkesan. Tetapi cara kita bertindak balas akan menentukan siapa yang mampu bertahan.

Dan dalam proses itu, gagasan seperti Malaysia MADANI hanya akan bermakna jika ia bukan sekadar disebut, tetapi difahami sebagai satu usaha bersama antara kepimpinan yang berani membetulkan, dan rakyat yang bersedia untuk berubah.

Usaha ini bukan untuk hari ini sahaja, tetapi untuk masa depan yang sedang kita bentuk, sedikit demi sedikit.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri