KUANTAN – Kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan kemudahan digital kecerdasan buatan (AI) di beberapa institusi perintis di negara ini.
Ia bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi malah mampu berfikir secara kritis dan inovatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program itu akan dilaksanakan di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.
Menurutnya, sebagai permulaan inisiatif itu menyasarkan 3,000 pelajar termasuk dari institut pengajian Islam di negara ini yang akan didedahkan dengan penggunaan teknologi AI serta kemahiran pemikiran kritis dan inovasi digital.
“Semua pelajar perlu lebih terdedah dengan kemudahan AI termasuk di institusi pengajian Islam di negara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 di pekarangan Pusat Transformasi Bandar Kuantan di sini pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Lebih 7,000 belia hadir bagi memeriahkan himpunan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Bagaimanapun, dalam ucapannya, Anwar mengingatkan bahawa teknologi baharu termasuk AI tidak bererti sekiranya ia menghakis nilai-nilain kemanusiaan.
“Sebab itu saya kata, akhlak itu penting, budaya itu penting. Hubungan yang baik antara saudara-saudara, anak-anak itu penting.
“Hilangkan rasa benci dan cemuh, memperbodohkan sesama sendiri. Ini semua yang perlu ditunjukkan,” katanya.
Anwar juga berkata, setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan terbesar untuk pendidikan supaya generasi muda mempunyai kekuatan dan kefahaman tinggi sebagai benteng negara pada masa depan.
“Pendidikan bukan hanya untuk memperoleh sijil atau ijazah tetapi untuk menjadikan manusia yang boleh berfikir secara positif,” ujarnya.
Pada himpunan itu, Anwar mengumumkan peruntukan menaik taraf gelanggang futsal di Kampung Bukit Bay Route di sini berjumlah RM600,000.
Turut diumumkan peruntukan RM500,000 bagi kemudahan dewan pembelajaran baharu Pusat Pengajian Islam Ribat Al Mustafa, Sungai Karang di sini untuk pelajar tahfiz.
Pada himpunan itu juga, Perdana Menteri menyampaikan cek sebagai simbolik sumbangan kepada pelajar B40 di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota dan penyampaian sumbangan kepada pelajar dan sekolah cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia Negeri Pahang 2025.


