IPOH – Hampir sembilan jam masa yang diambil bomba untuk membawa turun seorang wanita yang cedera tulang rusuk akibat terjatuh gaung sedalam 10 meter ketika menuruni puncak Gunung Korbu, semalam.
Wanita itu berjaya dibawa keluar dari kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) itu jam 1.30 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk diberi rawatan lanjut di hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi menyelamat digerakkan bermula jam 4.20 petang semalam sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.29 petang.
Menurutnya, operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bersama 12 anggota serta turut dibantu malim gunung.
“Mangsa menyertai aktiviti mendaki tergelincir dan jatuh dalam gaung sedalam 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu.
“Jarak dari pangkalan (pos operasi) ke tempat kejadian dianggarkan tiga kilometer dengan laluan trek mendaki serta curam dianggar mengambil masa dua hingga empat jam perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, katanya, antara kesukaran yang dihadapi dalam operasi menyelamat itu adalah pendakian waktu gelap melalui lereng, perlu menempuh tiga anak sungai, jalan licin atas faktor hujan dalam pada perlu membawa peralatan termasuk pengusung.
“Cabaran lain adalah tiada talian telefon di lokasi, dengan jarak paling hampir untuk berhubung menggunakan telefon adalah 2 jam ke arah keluar atau satu setengah jam kearah mendaki dari lokasi mangsa.
“Mangsa dikatakan jatuh sewaktu melintas dengan memeluk kayu balak yang tumbang di tebing sungai. Difahamkan, lokasi itu memang sudah berulang kali berlaku kes jatuh,” katanya.





