
SANDAKAN – Enam warga Filipina yang terselamat dalam insiden bot karam tiga hari lalu diserahkan kembali kepada pihak berkuasa Filipina oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sempadan Malaysia-Filipina pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Sandakan Port Control serta Taganak Port Control mengenai sebuah vesel karam di luar had pelabuhan Sandakan pada pukul 7.30 malam, Ahad lalu.
“Sejurus menerima maklumat, operasi menyelamat segera dilancarkan dengan penghantaran Bot Halilintar 4 ke lokasi kejadian.
“Pada pukul 9 malam, Bot Halilintar 4 tiba dan berjaya menyelamatkan enam mangsa terdiri daripada lima dewasa dan seorang kanak-kanak berusia antara 11 hingga 45 tahun, kesemuanya warga Filipina,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Suhairy, kesemua mangsa tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 11.30 malam untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.
Katanya lagi, selepas perbincangan dua hala, Maritim Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina, termasuk Pengawal Pantai Filipina dan Pegawai Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran (MDRRMO) untuk menyerahkan mangsa di perairan sempadan dengan diiringi aset kedua-dua negara.
Tambah beliau, penyerahan mangsa berjaya dilaksanakan pada pukul 10.30 pagi semalam di sempadan Malaysia-Filipina dengan disaksikan oleh Naib Datuk Bandar Suraida Ibnusali.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan telah diambil alih oleh pihak berkuasa Filipina.
“Maritim Malaysia tetap komited untuk memastikan keselamatan maritim dan menggesa komuniti pesisir pantai serta para pelaut untuk berhati-hati semasa cuaca buruk dan sentiasa waspada dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” ujarnya.






