
TAWAU – Seramai 36 pelancong warga China daripada 61 lelaki yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Sabtu, disyaki bekerja secara haram di Pulau Mataking dan Pulau Bum-Bum, Semporna.
Pengarahnya, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, 25 lagi individu yang turut ditahan merupakan warga Filipina yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
“Seramai 95 orang diperiksa di tapak pembinaan pusat peranginan pulau tersebut yang jauh dari Semporna dan orang ramai menerusi Ops Mahir bermula pukul 7.45 pagi hingga 3 petang.
“Kesemua mereka yang berumur 19 hingga 64 tahun itu kini berada di depo tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut, ” katanya kepada media dalam sidang media pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Menurut Saleha, pihaknya juga giat mengesan majikan dan pemilik premis untuk siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengambil pekerja tidak memiliki pas yang sah.
“Kita akan secara berterusan fokus kepada operasi seperti ini kerana kita dapati ada ejen dan dalang menguruskan mereka sehingga mereka berani tinggal lebih masa disini (Semporna) melebihi masa,” katanya.
Justeru beliau berharap agar semua majikan mematuhi prosedur Imigresen dan memastikan pekerja mempunyai pas bekerja dan mematuhi undang-undang negara.


