
KOTA KINABALU – Projek Tungku Commercial Centre yang melibatkan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bersama Menara Gading Sdn. Bhd (MGSB) dibatalkan selepas pemaju gagal memenuhi terma perjanjian.
Menteri Kerja Raya dan utiliti Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, Perjanjian Usahasama itu ditandatangani pada 11 Oktober 2021 manakala Pelan Pembangunan bagi projek ini telah diluluskan pada 19 Jun 2024.
“Pelaksanaan projek ini telah tertangguh disebabkan isu berkaitan dengan beberapa terma Perjanjian Usahasama yang gagal dipenuhi oleh MGSB dalam tempoh yang diberikan.
“Untuk mengelak daripada perkara ini berlanjutan, pihak LPPB kemudian memutuskan untuk menamatkan Perjanjian Usahasama dengan MGSB pada 11 September 2024,” katanya menjawab soalan ADUN Tungku, Assaffal P. Alian berkenaan status cadangan pembangunan Tungku Commercial Centre dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah ke-17, pada Khamis.
Menurut Joachim, MGSB memohon penangguhan dan tambahan masa untuk menyelesaikan isu berkenaan, bagaimanapun, selepas diberi penanguhan dan tambahan masa, pihak MGSB masih gagal untuk mencapai penyelesaian.
“Oleh itu, LPPB telah menguatkuasakan penamatan Perjanjian Usahasama melalui surat kepada MGSB bertarikh 18 Februari 2025.
“Dalam masa yang sama, LPPB juga sedang berusaha untuk mencari atau menjemput pemaju-pemaju lain yang berminat dan layak untuk melaksanakan projek di Tungku ini, ” jelasnya.




