
KOTA KINABALU – Tiga projek berimpak tinggi dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyelesaikan isu bekalan air Tawau mencapai kemajuan memberangsangkan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu dijangka menyelesaikan isu bekalan air jangka masa panjang daerah berkenaan.
“Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau bernilai RM470 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal 91.47 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2027.
“Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 bernilai RM335 juta yang bermula pada Julai 2025 juga kini berada pada tahap kemajuan 10.15 peratus dan dijangka siap pada Julai 2028.
“Selain itu, projek pemasangan paip transmisi dan agihan utama termasuk pembinaan tangki simpanan di beberapa kawasan bandar Tawau dengan kos RM236.68 juta yang bermula pada suku keempat 2027 menjadi pelengkap kepada LRA Cinta Mata 2,” ujarnya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah ke-17, pada Rabu.
Dalam pada itu, Joachim berkata, isu paip usang yang dibangkitkan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong terus diberi perhatian apabila kerja penggantian paip sepanjang kira-kira 100 kilometer telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.
“Usaha berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang kerap mengalami kebocoran serta gangguan bekalan air.
“Secara keseluruhan, rangkaian paip bekalan air di Sabah kini dianggarkan sepanjang 16,244 kilometer meliputi sistem agihan utama dan sambungan kepada pengguna, ” jelasnya.
Mengenai isu bekalan elektrik, Joachim berkata, berdasarkan purata penjanaan tenaga bulanan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, kira-kira 80 peratus bekalan elektrik di Sabah adalah berasaskan sumber gas asli di sebelah Pantai Barat Sabah yang disalurkan terus ke darat melalui paip dasar laut.
Katanya, kerajaan negeri juga mengambil pelbagai langkah mitigasi yang konkrit untuk mengurangkan kebergantungan kepada diesel dengan memaksimumkan penghantaran tenaga dari Pantai Barat ke Pantai Timur.
Sementara itu, Joachim berkata, kerajaan akan meningkatkan import tenaga dari Sarawak dan mengutamakan pengoperasian loji Medium Fuel Oil (MFO) yang lebih murah berbanding diesel.
“Dari sudut keterjaminan tenaga, Sabah kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berikutan jidar simpanan penjanaan yang sebelum ini berada pada tahap kritikal kurang daripada 10 paratus pada tahun 2023 berjaya ditingkatkan kepada 21 peratus pada masa kini.
“Jidar ini dijangka meningkat lagi kepada 27 peratus menjelang pertengahan tahun ini dengan penyiapan loji janakuasa gas 100 MegaWatt (MW) di Kimanis, ” katanya yang turut memperbetulkan tanggapan bahawa Sabah masih sangat bergantung kepada diesel sebagai sumber utama penjanaan elektrik.
Difahamkan, Mesyuarat Majlis Tenaga baru-baru ini juga telah meluluskan penganugerahan dua projek loji gas berkapasiti 200 MW di lokasi Kimanis dengan sasaran siap pada tahun 2028.
“Pengoperasian dua loji gas itu akan meningkatkan penggunaan gas asli dan akan mengurangkan lagi penggunaan bahan api Diesel dan MFO bagi penjanaan tenaga sehingga kurang daripada 1.5 peratus.
“Kerajaan Negeri juga turut komited mencapai 50 peratus campuran Tenaga Boleh Baharu menjelang 2035 dengan kapasiti sedia ada sebanyak 236 MW kini beroperasi.
“Bagi memperkukuh sasaran itu, projek tenaga berskala besar sedang dalam proses kajian kebolehlaksanaan dan dilaksanakan termasuk solar (450MW), sistem penyimpanan bateri BESS (200MW atau 400MW) dan kajian potensi tenaga angin (440MW).
“Selain itu, pembangunan hidroelektrik (1,054MW) dan penerokaan geoterma di Tawau (100MW) dijangka menjadi pemangkin utama kepada bekalan tenaga mampan negeri,” jelasnya.
Sementara itu, menjawab ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof berkenaan isu jambatan di Kampung Linggan 2, Joachim berkata, projek menaiktaraf jambatan itu kini dibuat dan tarikh siap baharu ditetapkan pada 5 Mei 2027 selepas diberikan lanjutan masa (EOT).
Bagi DUN Pantai Manis, Joachim memaklumkan sebuah projek Pembinaan Jambatan Buang Sayang Papar 2 KM20.4, telah diluluskan bagi pelaksanaannya melalui RMKe-13 biayaan Kerajaan Negeri.
“Status semasa adalah peringkat perancangan (kajian awalan dan rekabentuk).
“Apabila siapnya projek ini kelak, ianya akan menjadi laluan alternatif baru yang boleh menghubungkan jalan di kawasan Plaza 22 dan Kg. Sapat menuju ke Kg. Surati, ” kongsinya.
Mengulas lanjut, menjawab keselamatan cerun ADUN Tanjong Papat, Alex Thien, Joachim memaklumkan setakat ini terdapat 19 lokasi Sistem Amaran Awal (Early Warning System) yang telah dipasang di sepanjang jalan Persekutuan di Sabah.
Katanya, sistem ini berfungsi untuk memantau pergerakan cerun secara berterusan dan mampu memberi amaran awal dan tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda risiko kegagalan.






