
BEIRUT – Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa angka kematian akibat serangan Israel keatas Lubnan telah meningkat kepada 2,119, dengan 10,019 lagi cedera sejak 8 Oktober 2023.
Kementerian itu dalam kenyataan sama, berkata sepanjang tempoh 24 jam yang lalu, 36 orang lagi warga Lubnan terbunuh dan 150 yang lain cedera akibat serangan tentera Israel, lapor Anadolu.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Alam Sekitar, Nasser Yassin menyatakan, dalam tempoh 24 jam yang lalu, 137 serangan udara telah direkodkan, menjadikan jumlah serangan sejak permulaan pencerobohan kepada 9,400.
Yassin menambah, pihaknya telah membuka 990 pusat perlindungan sementara telah dibuka untuk menempatkan penduduk yang berpindah.
“Namun 781 pusat telah mencapai kapasiti maksimum, dengan 181,700 individu yang dipindahkan telah didaftarkan di tempat perlindungan.
“Jawatankuasa kecemasan kementerian akan bertanggungjawab menerima bantuan antarabangsa dan mengagihkannya kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal di seluruh wilayah, melalui mekanisme yang jelas dan telus,” katanya.
Pada 23 September, Israel telah melancarkan serangan udara secara besar-besaran di seluruh Lubnan dan telah membunuh sekurang-kurangnya 1,250 orang dan mencederakan 3,618 yang lain.






