
KUCHING – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada Sabtu.
Saingan di kerusi bandar itu membabitkan penyandangnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), See Chee How, 62, yang bakal dicabar oleh wakil Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, 40.

Turut memasuki gelanggang bagi merebut kerusi berkenaan ialah calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan, 71, serta calon Bebas, Peter John Jaban, 62.

Kesemua empat calon hadir bersama pencadang dan penyokong masing-masing bagi mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat penamaan calon yang ditetapkan bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi tadi.




