KUALA PILAH – Kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak, khususnya barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, setiap Exco perlu memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.
“Segala peristiwa dan isu tercetus baru-baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak terutamanya kamu semua sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, manakala Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim turut hadir.
Tuanku Muhriz bertitah, baginda tidak mahu perkara sama berulang sehingga menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat yang terpilih menganggotai barisan Exco, sambil mengingatkan bahawa pelantikan itu bukan sekadar penghormatan, malah membawa amanah dan tanggungjawab besar kepada negeri serta rakyat.
“Kamu semua perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut mendoakan supaya Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh barisan Exco dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.



