
KUCHING – Kesemua lima calon wanita yang diketengahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disahkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon hari ini, sekali gus melayakkan mereka bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi penggal baharu.
Mereka terdiri daripada tiga penyandang iaitu Datuk Seri Fatimah Abdullah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Dalat, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (N.07 Samariang) serta Dayang Noorazah Awang Sohor (N.28 Lingga).
Dua lagi calon wanita GPS yang turut menang tanpa bertanding merupakan muka baharu iaitu Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim di DUN N.16 Muara Tuang dan Nurfatin Syafawani Tahamat di DUN N.71 Bekenu.
Penampilan sulung kedua-dua calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu masing-masing menggantikan penyandang terdahulu di Muara Tuang, Datuk Idris Buang serta penyandang kerusi Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Pada pilihan raya negeri kali ini, GPS mempertaruhkan seramai 82 calon bagi kesemua 82 kerusi DUN Sarawak, dengan lima daripadanya terdiri daripada calon wanita berbanding empat orang pada PRN Sarawak ke-12.
Secara keseluruhan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan seramai 29 calon GPS menang tanpa bertanding selepas tiada pencabar lain mengemukakan kertas penamaan calon apabila tempoh penyerahan borang ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kesemua 29 calon terbabit telah dipilih sebagai ADUN Sarawak ke-13 dan pengundi di kawasan terlibat tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian 12 Disember ini.
Berdasarkan perangkaan rasmi SPR, seramai 14 calon wanita disahkan layak mengambil bahagian daripada keseluruhan 168 calon pada pilihan raya kali ini berbanding 154 calon lelaki.



