
SONG – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song No. 2 menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi menyokong usaha memperkasakan kecemerlangan pendidikan di sekolah berkenaan.
Sumbangan itu diumumkan oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Alvin Runggah Jimbun yang mewakilinya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Song No. 2 Tahun 2026 pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan, seramai 67 pelajar menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang masing-masing dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Daripada jumlah itu, seramai 21 pelajar menerima pengiktirafan atas pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 termasuk lima pelajar yang memperoleh keputusan semua A.

Dalam ucapannya, Alvin merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar, warga pendidik serta ibu bapa atas kejayaan yang dicapai hasil kesungguhan, pengorbanan dan komitmen bersama.
“Pelajar yang belum memperoleh keputusan memuaskan jangan mudah berputus asa, sebaliknya perlu terus berusaha kerana pencapaian akademik semasa bukan penentu mutlak masa depan mereka,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, khususnya Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bagi melanjutkan pengajian dan membina masa depan lebih cerah.
Beliau turut berharap lebih ramai anak kelahiran Song mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang seterusnya kembali menabur bakti kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan daerah itu.
“Latar belakang dan asal usul bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, malah anak-anak dari kawasan luar bandar juga berupaya mencipta kecemerlangan sekiranya memiliki kesungguhan, tekad dan semangat untuk terus maju,” katanya.
Foto: Facebook Alvin Runggah Jimbun

