
PUTRAJAYA – Seramai 18 anggota delegasi Sayap Belia Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) mengadakan lawatan kerja ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi meneroka peluang pembiayaan alternatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, lawatan itu memberikan pendedahan kepada usahawan muda mengenai peranan institusi kerajaan, perkembangan pasaran modal serta mekanisme mendapatkan pembiayaan selain pinjaman bank konvensional.
Menurutnya, pembiayaan alternatif mampu membantu syarikat tempatan memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan kapasiti operasi dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.
“Akses kepada pembiayaan alternatif menerusi pasaran modal mampu menyediakan lebih banyak pilihan kepada syarikat untuk mengembangkan operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan melaksanakan transformasi perniagaan,” katanya.
Sepanjang lawatan ke SC, delegasi diberikan penerangan mengenai peranan suruhanjaya berkenaan sebagai badan berkanun yang bertanggungjawab mengawal selia serta membangunkan pasaran modal Malaysia.
Delegasi turut berpeluang berinteraksi dengan Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi bagi mendapatkan gambaran mengenai operasi pasaran sekuriti, kerangka kawal selia dan hala tuju pembangunan pasaran modal negara.
Sementara itu, Ahli Majlis MCCCI merangkap Ketua Sayap Belianya, Yek Hock Hing berkata, sesi berkenaan turut memperkenalkan pelbagai saluran pembiayaan alternatif yang boleh dimanfaatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) yang diperkenalkan pada 2019 bagi membantu PMKS dan syarikat pemula niaga mendapatkan pembiayaan menerusi platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) serta pembiayaan rakan setara (P2P).
Di bawah Skim Umum MyCIF, pembiayaan bersama dilaksanakan pada nisbah 1:4, iaitu MyCIF menyediakan RM1 bagi setiap RM4 yang berjaya dikumpulkan daripada pelabur swasta menerusi platform yang mengambil bahagian, tertakluk kepada syarat kelayakan.
MyCIF turut menyediakan skim khusus bagi menyokong sektor keselamatan makanan, perniagaan berimpak alam sekitar dan sosial serta ekonomi warga emas.
Bagi Skim Keselamatan Makanan, nisbah pembiayaan bersama ditetapkan pada 1:2, selain menawarkan insentif tertentu termasuk kadar pembiayaan sifar bagi bahagian MyCIF dalam kempen P2P yang layak serta pelepasan pendapatan dividen MyCIF untuk kempen ECF yang memenuhi syarat.
Choon Man berkata, kemudahan pembiayaan berkenaan wajar diterokai oleh usahawan Miri, khususnya syarikat yang berhasrat memperluas operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran atau menceburi sektor pertanian dan bidang pertumbuhan baharu.
Delegasi turut diberikan penerangan mengenai program pembangunan korporat Elevate 2.0, iaitu program kepimpinan eksekutif selama empat bulan yang bertujuan membantu PKS dan syarikat peringkat pertengahan membuat persediaan mendapatkan pembiayaan melalui pasaran modal.
Program anjuran Capital Markets Malaysia itu memberikan penekanan kepada pembangunan kepimpinan, tadbir urus korporat, strategi pertumbuhan serta kesiapsiagaan syarikat untuk mendapatkan dana.
Penyertaan terbuka kepada syarikat yang mempunyai hasil tahunan minimum RM5 juta, tertakluk kepada syarat dan proses pemilihan yang ditetapkan.
Choon Man berkata, masih terdapat syarikat di Miri yang mempunyai potensi untuk berkembang, namun memerlukan pendedahan lebih luas mengenai mekanisme pembiayaan dan persediaan memasuki pasaran modal.
“Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan mengambil peluang menyertai program seperti Elevate 2.0 bagi membina keupayaan dalam aspek tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan pembiayaan sejak peringkat awal,” katanya.
Dalam pada itu, isu penipuan pelaburan turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian sepanjang lawatan berkenaan.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2025, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9,603 kes membabitkan penipuan pelaburan tidak wujud dengan kerugian mencecah RM1.47 bilion, berbanding kira-kira RM848.63 juta pada 2024.
Sehubungan itu, Choon Man mengingatkan masyarakat dan pemilik perniagaan supaya sentiasa berwaspada ketika meneroka peluang pelaburan, termasuk memastikan platform serta penyedia perkhidmatan pasaran modal mempunyai lesen atau pendaftaran yang sewajarnya.
“Saya nasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan promosi pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi,” katanya.
Lawatan delegasi itu kemudian diteruskan ke Parlimen Malaysia bagi memberikan pendedahan mengenai fungsi institusi perundangan negara serta proses penggubalan dasar dan pentadbiran kerajaan.
Choon Man turut menekankan bahawa pembangunan ekonomi tempatan memerlukan pendekatan yang lebih dinamik dengan memanfaatkan peluang pembiayaan serta perkembangan pasaran.
“Pembangunan ekonomi tempatan tidak seharusnya bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya usahawan perlu lebih proaktif memahami dasar negara, memanfaatkan sumber pembiayaan yang tersedia dan mengikuti perkembangan pasaran,” katanya.
Beliau berharap pengetahuan yang diperoleh sepanjang lawatan itu dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai usahawan muda di Miri bagi meningkatkan daya saing perniagaan tempatan serta meneroka peluang pertumbuhan ekonomi baharu.


