Dr Asyraf Wajdi Dusuki
KUALA LUMPUR – Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya Bahagian Pendidikan Menengah diarah mengambil tindakan segera berhubung aduan penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab dalam penyediaan makanan di sekolah itu.
Katanya, beliau sudah meminta pengetua segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas.
“Kasihan anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi, apatah lagi buat pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan SPM,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, beliau menerima aduan daripada beberapa pelajar dan ibu bapa mengenai penyediaan makanan di Dewan Selera petang semalam yang tidak memuaskan kerana ada ayam tidak dimasak dengan sempurna.
“Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi,” katanya.
Menurutnya, seolah-olah menjadi trend apabila kontrak hampir tamat tempoh, penyedia makanan mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
Katanya, baru beberapa minggu lalu beliau melakukan pemeriksaan di MRSM itu dan memberi amaran kepada penyelia Dewan Selera agar memastikan kualiti makanan menepati piawaian ditetapkan MARA.
“Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenaraihitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat MARA pada masa akan datang,” katanya.


