
KUANTAN – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh di Sungai Telemong, Karak pada Sabtu lalu ditemukan lemas, petang semalam.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat S Appanah, 74, ditemui orang awam kira-kira jam 3.55 petang dalam keadaan tersangkut berhampiran sebuah loji air.
Menurutnya, anggota bomba digerakkan untuk membantu mengambil mayat yang tersangkut menggunakan bot aluminium.
“Mayat mangsa berjaya dibawa naik kira-kira jam 6.24 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas laporan polis dibuat anak mangsa.
Mangsa dipercayai terjatuh ke sungai terbabit berdasarkan penemuan pakaian dan seliparnya di tepi sungai.
Anak mangsa mendakwa lelaki itu keluar kira-kira jam 3 petang pada Sabtu namun gagal pulang ke rumah.
Operasi SAR bermula jam 7.30 pagi Isnin dengan kekuatan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak, dibantu tujuh anggota Pasukan Penyelamatan Di Air BBP Bukit Angin, 18 anggota dan pegawai polis serta sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

