
MIRI – Kemudahan pengangkutan yang selamat, mudah diakses dan boleh dipercayai merupakan antara faktor penting dalam memastikan pelancong domestik serta antarabangsa menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa ketika meneroka destinasi pelancongan di Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, penyediaan sistem pengangkutan yang cekap serta kemudahan panduan arah yang jelas mampu meningkatkan akses pelancong ke pelbagai lokasi menarik di seluruh negara.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan seperti Maxim Malaysia dapat membantu memperkukuh kemudahan mobiliti pelancong, selaras dengan usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
“Inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026–2027,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Jelajah Bersama Maxim di Grand Palace Hotel, pada Isnin.

Kempen yang dilaksanakan menerusi kerjasama Maxim Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu memilih Miri sebagai lokasi pertama sebelum diperluas secara berperingkat ke bandar lain di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan memberikan penekanan kepada tiga aspek utama, iaitu kebolehcapaian, kemudahan dan kelancaran mobiliti bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke destinasi pelancongan pilihan mereka.
Antara kemudahan yang dirancang ialah penjenamaan kenderaan e-hailing bertemakan pelancongan, penyediaan lokasi pengambilan penumpang, pemasangan papan tanda informasi serta penyediaan bangku di lokasi terpilih.
Kemudahan berkenaan dijangka membantu pengunjung merancang perjalanan dengan lebih mudah, di samping meningkatkan keselesaan mereka ketika mengunjungi kawasan tumpuan pelancongan.
Pemilihan Miri sebagai lokasi pertama turut membolehkan pihak terlibat menilai keberkesanan pelaksanaan kempen serta mengenal pasti ruang penambahbaikan sebelum inisiatif itu diperluas ke destinasi lain.
Sementara itu, Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan penglibatan sektor swasta dalam menyokong pembangunan industri pelancongan negara.
Menurutnya, Maxim akan memanfaatkan rangkaian perkhidmatan serta kehadirannya di pelbagai bandar bagi membantu memperkenalkan keunikan dan tarikan pelancongan tempatan kepada pengunjung.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MOTAC melalui inisiatif ini serta menyumbangkan sumber, rangkaian dan kehadiran tempatan kami ke arah mencapai matlamat nasional yang dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan kempen secara berperingkat itu memberi peluang kepada Maxim untuk memainkan peranan dalam memudahkan pergerakan pelancong, khususnya ke destinasi yang mempunyai potensi pelancongan.
Kerjasama berkenaan juga diharap dapat merancakkan sektor pelancongan domestik, memperluas promosi destinasi tempatan serta memberikan manfaat kepada pengusaha perniagaan yang bergantung kepada aktiviti pelancongan.
Pelaksanaan Jelajah Bersama Maxim di Miri sekali gus menjadi langkah awal dalam usaha memperkukuh hubungan antara perkhidmatan pengangkutan dan industri pelancongan negara menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.



