
BANGGI – Kerajaan MADANI memperuntukkan lebih RM260 juta bagi melaksanakan enam projek keselamatan strategik di Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Daerah Kudat bagi memperkukuh kedaulatan sempadan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aset serta infrastruktur keselamatan di kawasan berkenaan.
“Projek itu menelan belanja kos anggaran keseluruhan lebih daripada RM260 juta. Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan aset-aset kita serta pembangunan infrastruktur keselamatan kita dipertingkatkan.
“Projek di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini tidak boleh dilaksanakan seperti projek-projek biasa. Enam projek baharu merangkumi pembangunan dan naik taraf Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Balambangan serta jeti guna sama di Dogoton, Pulau Banggi.
“Selain itu, pembangunan Kompleks Keselamatan Bersepadu yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kapitangan, Pulau Banggi dan Teluk Lung, Pulau Balambangan serta perolehan aset untuk PDRM di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Kerja dan Sumbangan Kotak Makanan di Balai Polis Karakit, Pulau Banggi, pada Ahad.
Mustapha berkata, projek lain yang bakal dilaksanakan adalah projek menaik taraf jalan raya laluan pesisir pantai sedia ada di Pulau Banggi dari Karakit ke Dogoton, Lapangan Terbang Kudat dan Kem ATM Sri Kudat.
Selain itu, menurut beliau, projek berkenaan turut melibatkan penyediaan penempatan aset maritim agensi keselamatan di Kudat menerusi pembangunan Jeti Keselamatan Bersepadu di Kampung Landung Ayang yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
“Penting untuk kita memastikan kedaulatan sempadan negara dapat dipertingkatkan, terutama kepada anggota-anggota keselamatan,” katanya.
Beliau berharap peningkatan infrastruktur dan aset berkenaan dapat memberikan semangat serta motivasi kepada anggota tentera untuk terus berkhidmat menjaga kedaulatan negara.
Dalam pada itu, Mustapha memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke Pos Dogoton dan Karakit di Pulau Banggi beberapa bulan lalu bagi meninjau aspek keselamatan sempadan negara.
Beliau berkata, projek berkenaan turut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan daripada PDRM, APMM dan ATM yang berkorban meninggalkan keluarga selama tiga bulan ketika bertugas di pos hadapan, termasuk anggota dari Pahang, Perlis dan Sarawak, demi menjaga keselamatan sempadan negara.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM), Datuk Samsul Dollah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, Jaslee Jaafar.
Foto: Jabatan Penerangan Sabah



