
PAS tidak seharusnya menggunakan Islam sebagai alasan untuk menghalalkan perubahan pendirian politik, khususnya apabila parti yang pernah dilabel sebagai musuh agama tiba-tiba diterima sebagai rakan kerjasama, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, Pas perlu menjelaskan percanggahan pendirian berhubung kerjasama politik dengan beberapa parti, termasuk DAP dan UMNO, yang sebelum ini pernah menjadi sasaran kritikan keras pimpinan parti itu.
Menurutnya, rakyat khususnya orang Melayu Islam berhak mempersoalkan mengapa sesuatu parti boleh dianggap rakan yang boleh diterima ketika menjalinkan kerjasama dengan Pas, tetapi bertukar menjadi musuh Islam apabila hubungan politik berakhir.
“Jangan gunakan agama untuk menghukum lawan, kemudian gunakan agama juga untuk menghalalkan kawan.
“Kalau berkawan dengan DAP boleh diberikan alasan politik, mengapa berkawan dengan parti lain pula hendak dijadikan ukuran iman?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas tulisan Presiden Pas bertarikh 26 November 2026 yang dirujuknya dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut membangkitkan sejarah hubungan Pas dengan DAP serta UMNO yang memperlihatkan perubahan pendirian parti itu mengikut perkembangan dan kepentingan politik semasa.
Katanya, ketika Pas bekerjasama dengan DAP, hubungan tersebut diterima atas alasan politik dan kepentingan bersama tanpa dianggap sebagai penggadaian prinsip Islam.
Bagaimanapun, katanya, ketika Pas bermusuhan dengan UMNO, pelbagai gelaran dan tuduhan dilemparkan terhadap parti berkenaan, termasuk ungkapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang pernah menyifatkan UMNO lebih dajal daripada dajal.
Malah, katanya, undi UMNO ketika itu turut ditolak menggunakan hujah agama.
Namun, keadaan berubah apabila Pas kembali menjalinkan kerjasama dengan UMNO, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian dan tuduhan yang pernah dilemparkan sebelum ini.
Mahfuz turut menyentuh kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang pernah berhadapan dengan 47 pertuduhan di mahkamah, namun perkara itu tidak lagi dilihat sebagai penghalang kepada kerjasama politik antara kedua-dua parti.
“Apabila Pas dan UMNO berpelukan semula, ke mana perginya segala tuduhan dan gelaran yang pernah dilemparkan dahulu?
“Adakah mereka yang pernah dilabel dajal itu sudah bertaubat dan berubah menjadi malaikat, atau sebenarnya gelaran tersebut hanya senjata politik ketika mereka bermusuhan?” soalnya.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan beliau tidak menolak kerjasama politik antara parti Melayu dan Islam kerana ia boleh membawa kebaikan sekiranya berteraskan kepentingan rakyat, keadilan serta integriti.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya agama tidak dijadikan alat untuk menentukan baik buruk sesuatu parti berdasarkan hubungan politik semasa.
Katanya, Pas tidak seharusnya meletakkan dirinya seolah-olah mempunyai kuasa mengeluarkan sijil halal dan haram terhadap parti politik lain.
“Keputusan parti bukan wahyu. Strategi politik bukan hukum Allah. Hukum Allah itu sempurna, tetapi manusia yang mentafsir dan menggunakannya dalam politik tidak maksum,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Melayu Islam supaya tidak menganggap parti yang disokong sentiasa benar, manakala parti yang menjadi lawan pula semuanya salah.
Tegasnya, perubahan strategi politik manusia tidak seharusnya disamakan dengan perubahan hukum Allah, apatah lagi apabila agama dijadikan alasan untuk mempertahankan kepentingan kuasa.



