
KUCHING – Sarawak berhasrat muncul sebagai pusat pembangunan teknologi bertaraf dunia dengan memperkukuh keupayaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi digital.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri itu tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi yang dibangunkan pihak luar, sebaliknya perlu memiliki keupayaan menghasilkan inovasi sendiri bagi menghadapi perubahan ekonomi global.
“Pembangunan kampus AI di Tanjung Embang merupakan antara langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem teknologi negeri, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada generasi muda Sarawak,” jelas beliau.
Beliau berkata, pembangunan tersebut turut mengambil kira kemajuan teknologi pengkomputeran kuantum, data pintar dan industri semikonduktor yang semakin penting dalam ekonomi masa hadapan.
Abang Johari turut menyentuh keupayaan Sarawak dalam pembangunan reka bentuk cip semikonduktor serta potensi penggunaan bahan berasaskan galium bagi menghasilkan teknologi cip generasi baharu.
“Usaha membangunkan industri berteknologi tinggi perlu disokong melalui pendidikan dan pembangunan modal insan supaya anak Sarawak berupaya memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak perlu terus meneroka teknologi baharu, termasuk AI dan robotik, bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam transformasi ekonomi dunia.
“Kepentingan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi sebagai asas mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Menurutnya, matlamat jangka panjang kerajaan negeri adalah untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pembangunan ekonomi dan teknologi di rantau Asia serta peringkat antarabangsa.



