
KOTA KINABALU – Polis sedang mengesan seorang lelaki berumur 38 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh yang berlaku di Sulaman Sentral, Kuala Menggatal, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes itu dirujuk menerusi laporan polis Menggatal dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Lelaki yang dikenali sebagai Kusdino Paad itu diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan lelaki terbabit diminta tampil membantu pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Kota Kinabalu menerusi talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.



